USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA BAKAL PELAJAR B40 TERIMA SURAT TAWARAN KEMASUKAN KE USM

BALIK PULAU, 19 September 2021 – Dua bakal pelajar dari keluarga B40 yang ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima surat tawaran yang disampaikan sendiri oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini pagi ini.

Mereka ialah Nur Abharina Natasya Azman yang ditawarkan kemasukan ke bidang Kejuruteraan Elektronik dan Nur Adlina Kamilia Abd Rahim yang ditawarkan mengikuti bidang Sains Biologi Gunaan.  

Hadir menyampaikan surat tawaran kemasukan pelajar baharu ke universiti kepada Nur Abharina dan Nur Adlina beserta lapan lagi bakal pelajar universiti awam lain ialah Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah selaku wakil kepada Menteri KPT, Dato’ Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir ialah wakil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyampaikan bantuan pinjaman wang pendahuluan kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

Nur Abharina ketika ditemui selepas majlis penyerahan itu berkata, dia bersyukur dan berasa begitu gembira kerana tidak sangka diterima masuk ke USM.

WhatsApp Image 2021 09 26 at 14.13.29

“Harapan saya agar saya dapat menyesuaikan diri dengan kursus yang dipilih, dapat belajar perkara bermanfaat dan dapat mencapai keputusan yang cemerlang sepanjang saya belajar di USM untuk membanggakan kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.

Bagi Nur Adlina yang tinggal di Sungai Pinang, Balik Pulau pula, dia berasa amat seronok kerana USM merupakan pilihan pertama dalam permohonannya ke Unit Pusat Universiti (UPU).

IMG 1389

“Alhamdulillah, dari dulu saya memang berhasrat untuk menyambung pelajaran di USM dan harapan saya semoga saya dipertemukan dengan pensyarah dan rakan yang boleh membantu saya dari segi pelajaran,” katanya.

Kedua-dua bakal pelajar ini merupakan antara kira-kira 4,963 pelajar yang akan memulakan pengajian di tahun pertama sidang akademik 2021/2022 USM pada pertengahan bulan Oktober ini.

YB Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini mengumumkan bahawa kampus akan dibuka semula untuk kemasukan pelajar baharu dan lama (senior) secara berperingkat bagi Semester 1, Sidang Akademik 2021/2022 bermula pada 15 Oktober 2021.

Sidang Akademik 2021/2022 USM akan bermula pada 25 Oktober 2021, yang mana kuliah dan peperiksaan akan dijalankan secara bersemuka atau dalam talian mengikut ketetapan pusat pengajian masing-masing.

Untuk kemasukan pelajar pada S.A. 2021/2022, KPT menyarankan supaya pelajar yang akan masuk ke kampus mestilah mereka yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dan jika pelajar belum menerima vaksin, mereka boleh hadir di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara walk-in untuk menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik USM, Tuan Haji Ramli Osman, selaku wakil dari USM di majlis tersebut, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar yang terpilih menyambung pelajaran di USM.

 IMG 1398

“Saya berharap agar pelajar-pelajar yang terpilih ini akan belajar dengan rajin agar mencapai keputusan yang cemerlang sekaligus dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka,” katanya.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 676

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024