YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG RASMI ‘WAKAF LALUAN RAHMAH’ DAN ‘WAKAF AT-TOUBB@KAFA’ PUSAT ISLAM USM
*Majlis diadakan secara ringkas dan hanya simbolik perasmian dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat serta bilangan kenamaan bersama-sama T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dihadkan bagi tujuan penjarakan fizikal.
USM PULAU PINANG, 24 September 2021 – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak hari ini berkesempatan hadir bagi merasmikan 'Wakaf Laluan Rahmah' dan 'Wakaf At- Toubb@KAFA' Pusat Islam di Masjid Malik Al-Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Wakaf laluan berkenaan merupakan satu tarikan baharu di Masjid Al-Malik Khalid USM bagi mereka yang inginkan suasana santai untuk menjamah juadah, berehat, belajar dan sebagainya.
Terdahulu, Ahmad Fuzi turut meluangkan masa menyempurnakan Solat Jumaat di Masjid Al-Malik Khalid yang diimamkan Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari.
Manakala Khutbah Jumaat pula disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman bertajuk ‘Kemuliaan Ibu Bapa’.
Selesai Solat Jumaat, T.Y.T. turut berkesempatan bersama kenamaan universiti menyempurnakan Upacara Penanaman Pokok Bucida Putih (Pokok Doa) di hadapan masjid sebagai simbolik buat pertama kalinya berkunjung ke USM selepas dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang baharu.
Bersama-sama mengiringi T.Y.T. pada majlis Solat Jumaat dan perasmian tersebut adalah Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Hussain; Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato' Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta Pegawai-Pegawai Utama Universiti dan Kerajaan Negeri.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 543