BENGKEL BUSANA MELAYU TERAPKAN KONSEP KELESTARIAN
PULAU PINANG, 15 Jun 2013 – Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan dengan jayanya Bengkel dan Demonstrasi Pengenalan Asas kepada Busana Melayu yang menerapkan konsep kelestarian menerusi bidang seni kreatif dan budaya di sini hari ini.
Bengkel secara percuma itu, yang dianjurkan bersama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, merupakan program libatsama komuniti yang telah dirancang untuk bulan Jun dengan tujuan untuk membolehkan USM menjalinkan hubungan dengan masyarakat.
Dalam bengkel itu, fasilitator berpengalaman yang dijemput khas dari Akademi Pusaka Keris SeNusantara, Rosman Sukim telah menerangkan dengan lebih mendalam tentang pemakaian busana Melayu seperti setanjak/tengkolok serta ikatan sampin dengan betul.
Menurut beliau, busana Melayu tradisional melambangkan kebesaran, maruah, jatidiri dan kesantunan budi masyarakat Melayu, dan dengan itu perlu dipertahankan malah dilestarikan kelangsungannya supaya ia kekal sebagai sebahagian warisan budaya masyarakat Melayu yang unik dan istimewa.
“Selain itu, ia juga amat penting dalam memupuk jati diri dalam pembinaan modal insan dalam kalangan golongan muda khususnya dari masyarakat Melayu,” kata Rosman dalam penyampaiannya tentang kepentingan dan matlamat diadakan bengkel seumpama ini.
Sementara itu, Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan, dalam ucapan aluannya, pula berkata beliau berharap melalui bengkel dan demonstrasi busana Melayu itu, masyarakat lain seperti Cina dan India malah pelancong asing berpeluang melihat lebih dekat dan mengetahui lebih mendalam tentang bidang berkaitan termasuk cara pemakaiannya.
“Bengkel itu sebenarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dalam program siri Tiang Sri yang dianjurkan oleh MGTF untuk memberi peluang kepada para pelajar berinteraksi dan berbicara dengan penggerak budaya, golongan intelek, karyawan dan pengamal profesional,” kata Zolkurnian.
Lebih daripada 90 orang peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar pelbagai kaum dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah menyertai bengkel tersebut yang berakhir dengan sesi demonstrasi kaedah yang betul secara lengkapnya pemakaian busana Melayu tradisional. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2068