USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN 22 IPT JALIN KERJASAMA PERKASAKAN PROGRAM LIBATSAMA UNIVERSITI-KOMUNITI

USM PULAU PINANG, 22 September 2021Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi diberi kepercayaan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) apabila buat kali keduanya menjayakan Program Leadership in Academic-Society Experiential Relationship (LASER) 2021.

WhatsApp_Image_2021-09-23_at_00.19.05.jpeg

LASER 2021 dahulunya dikenali sebagai Program Peningkatan Kompetensi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT): Perkongsian Amalan Terbaik Libatsama Universiti-Komuniti (ACEP) dan tahun ini LASER telah diletakkan sebagai ‘signature program AKEPT yang dijenamakan semula dengan berfokuskan peralihan kepakaran Institusi Pengajian Tinggi negara untuk pembangunan komuniti.

Program yang diadakan selama dua hari ini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, telah berjaya menarik penyertaan 22 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) untuk berganding bahu bersama USM bagi berkongsi idea dan kepakaran, seterusnya menghasilkan modul-modul berkesan untuk manfaat komuniti.

Berucap merasmikan majlis, Pengarah AKEPT, Profesor Dato’ Dr. Nasrudin Mohammed berkata, kolaborasi strategik di antara USM-AKEPT bagi menarik penglibatan universiti-universiti awam untuk libatsama universiti-komuniti merupakan inisiatif baik yang perlu diteruskan demi membantu komuniti secara konsisten.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada USM yang sudi bekerjasama dengan AKEPT untuk menjayakan program LASER 2021 buat kali keduanya dan sememangnya saya mengharapkan di akhir program, melalui cambahan idea dari tenaga pakar setiap universiti mampu membuahkan hasil melalui modul-modul yang berkesan untuk diterjemahkan kepada komuniti secara keseluruhannya,” kata beliau.

Tambah beliau, kerjasama di antara semua universiti terlibat amatlah penting dalam memberi fokus dan impak kepada kompetensi pembangunan hubungan universiti dan komuniti.

“Sudah semestinya besar harapan saya agar LASER menjadi platform yang tepat untuk pembangunan pengetahuan di samping penghasilan modul bagi membantu komuniti dengan apa jua yang universiti miliki,” jelas beliau lagi.

Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, usaha memperkasakan kewibawaan IPT negara buat komuniti pada ketika ini begitu mencabar, apatah lagi negara dan dunia diuji dengan penularan wabak COVID-19, yang telah memberikan kesan yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat di Malaysia.

“Alhamdulillah, dalam kesukaran ini, pelbagai inisiatif dan usaha tetap dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan matlamat sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 berjalan seiring dengan permintaan sekali gus meninggikan taraf Universiti Awam (UA) dan Swasta sebagai gedung ilmu yang mampu memberi sumbangan kepada peningkatan taraf hidup dan juga kemapanan ekonomi melalui penglibatan universiti kepada masyarakat,” katanya.

Faisal Rafiq menambah, USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) pastinya telah meletakkan misi di tahun 2022 bagi meningkatkan lagi sasaran pelbagai pelaksanaan program menterjemahkan kepakaran USM khas untuk komuniti, termasuklah melibatkan setiap Pusat Pengajian di USM yang bekerjasama sepenuhnya menjayakan program tersebut demi meningkatkan sosio ekonomi komuniti melalui kepakaran yang ada.

“USM sentiasa membuka peluang buat komuniti sekeliling bagi berganding bahu bersama bertujuan membantu apa yang diperlukan oleh komuniti, dan sudah pastinya USM dan universiti-universiti terlibat mampu menjadi ‘jiran’ yang baik melalui perkongsian pengetahuan dan libatsama komuniti,” kata Faisal Rafiq.

Tambah beliau, hasil daripada penganjuran yang lalu telah berjaya menghasilkan modul-modul untuk manfaat lebih 300 orang akademia dari pelbagai Universiti Awam (UA) dalam memberi pendedahan merangka, menilai dan melaksanakan projek libatsama universiti-komuniti, dan sememangnya beliau mengharapkan modul-modul yang terbaik dapat dihasilkan buat penganjuran kali ini.

Pada majlis tersebut, turut diadakan Pelancaran Produk Brainey Madu Kelulut hasil penyelidikan pensyarah dan penyelidik USM, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa yang telah mencapai beberapa kejayaan besar di peringkat nasional dan antarabangsa melibatkan penerimaan geran bernilai jutaan ringgit serta memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Apa yang lebih bermakna LASER 2021 turut disertai barisan tokoh kepimpinan USM yang lalu, iaitu tiga mantan Naib Canselor USM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Dato’ Sr. Dr. Omar Osman dan Prof. Datuk Dr. Asma Ismail yang menyampaikan ucaptama berdasarkan pengalaman mereka berkaitan libatsama universiti-komuniti untuk dikongsikan pada program tersebut.

Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM merangkap Penasihat Program LASER, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Jaringan Masyarakat, BJIM USM merangkap Ketua Program LASER, Tuan Syed Yusof Syed Kechik dan para peserta terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Pengarah, Timbalan Pengarah, pensyarah dan penyelidik Universiti Awam/Universiti Swasta serta pegawai-pegawai utama AKEPT.

WhatsApp_Image_2021-09-23_at_00.21.22.jpeg

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Fazilah Harun (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat)

  • Created on .
  • Hits: 804

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024