USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMASUKAN SEMULA PELAJAR, SITUASI DI KAMPUS KEJURUTERAAN DALAM KEADAAN TERKAWAL – PENGARAH KAMPUS

NIBONG TEBAL, 13 September 2021 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria menyatakan bahawa situasi di kampus ini menjelang kemasukan pelajar bagi Sidang Akademik 2021/2022 adalah terkawal.

Menurut Azazi, Kampus Kejuruteraan telah berjaya mengawal penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangannya sejak PKP1.0 lagi dan akan mengekalkan kaedah yang sedia ada dalam memastikan keselamatan semua untuk sesi kali ini juga.

WhatsApp_Image_2021-09-18_at_22.05.06.jpeg

Beliau berkata demikian dalam sesi Amanat Kepimpinan Pelajar dan Soal Jawab bersama 42 Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) secara dalam talian yang diadakan baru-baru ini.

WhatsApp_Image_2021-09-18_at_22.05.06_1.jpeg

“Seperti yang kita sedia maklum, pihak pengurusan kampus telah mengehadkan pergerakan keluar masuk pelajar serta memantau ketat setiap aktiviti mereka yang menetap di dalam kampus dalam usaha untuk menjaga keselamatan serta kebajikan semua sejak bermulanya pandemik ini pada tahun lepas,” kata Azazi.

“Namun begitu, ramai yang tidak tahu tindakan ini pada awalnya ‘tidak digemari/disukai’ dan kita kerap dipersoalkan akan rasional disebaliknya sehinggalah keberkesanannya terbukti, yang mana pada hari ini kes-kes yang dilaporkan di dalam kampus adalah dalam jumlah yang minimum serta terkawal,” tambah beliau.

Oleh yang demikian, Azazi menegaskan beberapa kaedah serta tindakan akan dikekalkan dan pada masa yang sama beberapa usaha tambahan akan diperbincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak Nerve Centre Kampus Kejuruteraan bagi membolehkan pelajar kembali ke kampus dalam keadaan selesa untuk pembelajaran mahupun aktiviti seharian.

Mengulas akan peranan yang akan digalas oleh pembimbing-pembimbing Program Siswa Lestari bagi sidang akademik kali ini, beliau mahu ianya dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan positif walaupun semua masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu pandemik pada hari ini.

“Jadikan momen-momen seperti ini sebagai satu cabaran dalam diri untuk mengekalkan momentum kecemerlangan senior-senior sebelum anda dan selaku ahli jawatankuasa PPSL, anda juga secara langsung berperanan sebagai benchmark dan contoh kepada junior-junior anda di masa akan datang,” kata Azazi.

“Bukan semua orang mampu untuk berkorban masa dan tenaga mereka seperti anda, saya sangat berbesar hati di atas usaha serta semangat yang ditunjukkan.

“Bekerjalah sebagai satu pasukan yang hebat dan penuh toleransi demi imej serta nama baik universiti,” tambah beliau.

Program Siswa Lestari akan mula dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 22 Oktober 2021.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 524

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024