KEPIMPINAN DAN ETIKA TONGGAK TRANSFORMASI INSTITUSI
USM PULAU PINANG, 11 September 2021 -- Kepimpinan dan etika adalah dua tonggak yang memainkan peranan penting untuk memacutransformasi sesebuah institusi, baik kerajaan mahupun swasta.
Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Transformasi Insan (PTi) menganjurkan Siri Syarahan Kepimpinan USM: ‘Leadership And Ethics In Driving Transformation’ yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex dan juga ‘live streaming’ di Facebook PTi.
Syarahan tersebut yang diadakan pada 8 September yang lalu menampilkan penceramah jemputan iaitu Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Hj. Suhaime Mahbar dengan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Mohamad Abdullah selaku moderator.
Dalam sesi berkenaan, Suhaime berkata, beliau memilih tajuk berkenaan kerana melihat kepentingan dua atribut berkenaan iaitu kepimpinan dan etika yang saling berkait dalam mempengaruhi kakitangan lain.
Memetik kata-kata Edelman (firma konsultasi perhubungan awam dan pemasaran Amerika Syarikat yang terbesar di dunia dari segi pendapatan dan bilangan kakitangan), “Kepercayaan diberikan atas dua atribut yang berbeza: kompetens (menunaikan apa yang dijanjikan) dan tingkah laku beretika (melakukanperkara yang betul dan berusaha untuk memperbaiki masyarakat). Ia tidak lagihanya mengenaiapa yang anda lakukan, tetapi juga bagaimana anda melakukannya.”
Katanya, majikan selaku pemimpin di dalam satu-satu institusi perlu mempunyai iltizam untuk melaksanakan yang terbaik dalam aspek kemajuan diri, melakukan sesuatu dengan penuh integriti dan mempunyai sikap kepercayaan terhadap seseorang kakitangan.
“Selain itu, bagi golongan lelaki sama ada menjadi majikan atau tidak, kita tetap mempunyai tanggungjawab sebagai khalifah dalam diri dan keluarga.
“Justeru setiap individu perlu membentuk diri menjadi khalifah berguna kepada semua orang dan mempraktikkannya di dalam institusi pekerjaan bagi memastikan institusi kita dapat ditransformasikan dengan bermatlamat menuju ke arah kejayaan,” katanya dalam sesi syarahannya itu.
Suhaime berkata, pemimpin, pengurus dan pentadbir adalah tiga perkataan berlainan namun mempunyai fungsi yang sama iaitu memimpin sesebuah institusi atau organisasi.
Katanya, seperti di USM contohnya, terdapat pelbagai jabatan dan setiap jabatan mempunyai pentadbir yang perlu memainkan peranan dalam memacu jabatan ke arah transformasi.
Menurutnya, tiga faktor utama yang menentukan sama ada sesuatu transformasi itu berjaya dilakukan atau tidak di sesebuah institusi ialah: 1. Kepimpinan (leadership); 2. Pekerja yang menyokong/terlibat sama (Engaged/Supportive employees); dan 3. Perasaan kepunyaan terhadap transformasi tersebut (Ownership of the Transformation/Change).
“Bagi sesebuah institusi/organisasi, barisan kepimpinan yang kompetens, beretika tinggi, boleh dipercayai, mempunyai visi dan strategi korporat yang jelas, mendapat sokongan penuh pengurusan pertengahan dan eksekutif, dan menggalakkan budaya kerjasama yang kuat merentasi fungsi adalah penting untuk mempercepatkan proses transformasi institusi/organisasi,” jelasnya.
Transformasi sesebuah organisasi akan lebih berjaya jika ia mempunyai 63% pekerja/kakitangan yang menyokong barisan kepimpinan dengan melibat sama diri mereka secara positif dalam proses transformasi tersebut berbanding dengan organisasi yang mempunyai peratusan sokongan pekerja/kakitangan yang kurang daripadaangka itu, kata Suhaime, berpandukan laporan oleh EY Strategy and Consulting Co., Ltd. (2021).
Selain itu, ujarnya, barisan kepimpinan sebaik-baiknya melibatsamakan pekerja-pekerja lain di bawahnya dalam proses perancangan dengan mengambil kira idea atau pandangan mereka untuk bersama-sama mencari pendekatan terbaik ke arah transformasi serta memupuk perasaan kepunyaan terhadap transformasi yang bakal berlaku.
Dalam sesi ceramah berkenaan, Suhaime turut mendoakan USM berada pada landasan yang betul menuju ke arah transformasi dengan mempunyai pemimpin serta kakitangan yang mempunyai nilai kepimpinan dan etika yang tinggi.
Terdahulu, Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dalam ucapan aluannya turut merakamkan terima kasih kepada Suhaime yang sudi berkongsi ilmu dan pengalamannya berkhidmat selama 36 tahun di sektor awam, dalam melahirkan pemimpin yang terbaik di universiti itu.
Katanya, pemilihan tajuk amat berketepatan dengan moto USM iaitu ‘Kami Memimpin’ dan turut mengucapkan tahniah kepada PTi yang menganjurkan siri syarahan berkenaan.
“USM akan terus menjemput tokoh-tokoh peringkat nasional yang berpengalaman luas dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran untuk berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam usaha melahirkan pengawai dan pentadbir yang mempunyai skill set yang diperlukan untuk memimpin dengan cekap, telus, berintegriti dan profesional demi kecemerlangan universiti.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor, ahli-ahli JKPU, pegawai-pegawai utama universiti dan Pengarah Pusat Transformasi Insan, Roslan Ismail.
Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1052