USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INILAH AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB KAMI SEBAGAI JURURAWAT: FADHIL

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 September 2021 – Malaysia sudah menghampiri dua tahun mengharungi pandemik luar biasa dikenali sebagai COVID-19 yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

Namun, wabak ini masih lagi beraja di negara kita dengan merekodkan jumlah jangkitan melebihi 15,000 kes harian serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat mutakhir ini.

Meletakkan diri sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berada dalam situasi berisiko tinggi bagi tempoh yang panjang dengan kemungkinan dijangkiti virus maut, Ketua Jururawat Wad Isolasi Medikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Md Fadhil Mat Amin berkongsi pengalamannya merawat pesakit COVID-19.

WhatsApp_Image_2021-09-17_at_15.49.14.jpeg

Menurutnya, diberi tanggungjawab untuk mengetuai wad yang menguruskan pesakit COVID-19, Fadhil menganggap amanah itu sebagai ruang untuk beliau dan rakan-rakan menabur bakti kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia.

“Berhadapan wabak COVID-19 adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 14 tahun saya bertugas sebagai jururawat.

"Masa bersama keluarga kini terbatas demi tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan dan pesakit yang disahkan positif mengharapkan bantuan kami untuk memberi rawatan terbaik kepada mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut pengalaman sepanjang menguruskan pesakit COVID-19, Fadhil memberitahu, memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) amat mencabar dengan peluh mencurah-curah dan pakaian yang basah seperti sedang dibasuh, namun penat lelah itu seakan terbalas sebaik sahaja selesai menggembleng tenaga merawat dan menjaga pesakit kritikal yang silih berganti ditempatkan di wad tersebut.

“Akujanji sebagai seorang jururawat ketika mula melapor diri di Hospital USM tetap tersemat utuh dan tiada apa yang mampu menggugat iltizam saya sebagai petugas barisan hadapan melainkan memberi khidmat yang terbaik kepada pesakit.

“Gelombang keempat virus COVID-19 dengan peningkatan kes mendadak daripada sebelumnya menyedarkan kami bahawa khidmat sebagai jururawat adalah benteng untuk menyembuhkan pesakit sekaligus membendung penularan wabak 'pembunuh' ini,” jelasnya lagi.

Figura berbadan sasa dan berkaca mata ini juga menceritakan bahawa beliau pernah menyaksikan pelbagai situasi meruntun jiwa di mana pesakit yang dimasukkan ke dalam wad tersebut bertarung nyawa melawan virus berbahaya itu sehingga akhirnya dijemput sang Pencipta.

"Sebagai perawat yang bertugas, kami hanya mampu berusaha sedaya upaya memberi bantuan dan merawat pesakit sebaik mungkin, selebihnya bergantung kepada pesakit untuk terus cekal, tabah dan kuat menghadapi ujian kesakitan ini.

“Pesakit di dalam wad silih berganti, namun mereka hanya mampu meminta bantuan para petugas yang memberi rawatan ekoran Prosedur Operasi Standard (SOP) membataskan ahli keluarga untuk melawat mereka.

Tatkala itu, wujudnya kasih sayang tanpa sempadan disaat mereka mula merasai kebergantungan kepada para perawat yang bertugas agar membantu mereka kembali sembuh seperti sediakala,” ujarnya.

Tambah Fadhil, petugas-petugas barisan paling hadapan seperti jururawat sangat memerlukan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat kerana sokongan anda adalah penguat semangat untuk kami terus mendepani wabak ini.

“Jadilah masyarakat yang mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan untuk meringankan tugas kami serta membantu mengurangkan penularan virus COVID-19.

“Tatkala ramai di antara kita merungut tidak dapat keluar rumah bekerja atau ke mana sahaja yang kita suka, doktor dan jururawat yang bertugas di hospital tetap komited melunaskan tanggungjawab mereka dalam memastikan segala urusan perawatan ke atas pesakit tidak tergendala,” katanya.

Fadhil turut menasihati orang ramai agar memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan melandaikan lekuk kes kenaikan harian serta menyeru masyarakat memilih untuk divaksinasi sebagai salah satu agen yang mampu membantu mengurangkan komplikasi apabila dijangkiti virus COVID-19.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 666

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024