USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INISIATIF STRATEGIK ‘TALENT MANAGEMENT AND STAFF WELLBEING’, 1209 STAF B40 TERIMA AGIHAN BEKALAN SUSU

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2021 – Prihatin akan pentingnya memastikan kesihatan serta kebajikan warganya sentiasa terpelihara, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah melancarkan inisiatif strategik ‘Talent Management and Staff Wellbeing’.

Antara program yang dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut ialah bekalan susu UHT secara percuma kepada staf B40.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang ditemui semasa program penyerahan susu UHT kepada sebahagian kumpulan penerima di Kampus Kesihatan berkata, selain memberikan sumber protein yang baik, susu juga mengandungi hampir kesemua nutrien penting seperti vitamin A, D, K dan B serta pelbagai mineral termasuk Kalsium, Magnesium, Fosforus, Potassium, Zink dan Ferum atau Zat Besi.

WhatsApp_Image_2021-09-17_at_01.33.03.jpeg

Menurut beliau, susu penting untuk pembentukan tulang dan gigi yang sihat serta mampu mengurangkan risiko menghidap osteoporosis.

"Justeru, pihak Pengurusan berharap inisiatif agihan susu ini akan menjadi titik tolak kepada budaya minum susu dalam kalangan warga dan keluarga mereka.

"Kita juga mensasarkan untuk melahirkan generasi warga USM yang produktif serta sihat tubuh badan," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad pula memaklumkan, bekalan susu akan diagihkan secara berperingkat sebanyak empat kali iaitu pada September, Oktober, November dan Disember tahun ini.

“Jabatan Pendaftar selaku urusetia akan melaksanakan agihan kepada 1,209 penerima di Kampus Kesihatan melibatkan 16 Pusat Tanggungjawab (PTJ) daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan.

"Agihan susu ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan penerima dan memberi manfaat bukan sahaja kepada staf, tetapi juga kepada ahli keluarga mereka, khususnya anak-anak yang masih bersekolah," jelasnya.

Salah seorang penerima yang ditemubual, Mohd Hafiz Yaa’cob, menzahirkan kesyukuran atas keprihatinan pengurusan USM merangka inisiatif agihan susu dan berharap semoga lebih banyak program berkaitan hal ehwal kesihatan serta kebajikan warga dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Terima kasih kepada pengurusan USM. InshaAllah sumbangan ini akan memberikan lebih motivasi kepada saya serta penerima-penerima lain untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada USM," katanya.

Turut hadir dalam program tersebut yang dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ialah Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim, ketua-ketua Jabatan, wakil Kesatuan Kakitangan Am (KKA) serta warga kerja Jabatan Pendaftar dan Hospital USM.

WhatsApp_Image_2021-09-17_at_01.33.35.jpeg

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto:Abdul Hasib Abdul Rahman/Rekagrafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024