WARGA USM SAMBUT HARI MALAYSIA DALAM SUASANA TENANG DAN SABAR
USM PULAU PINANG, 16 September 2021 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru supaya terus berada dalam keadaan sejahtera, sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri dalam suasana meraikan Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menyeru agar semua warga kampus terus tenang dan bersabar dalam membangunkan universiti tercinta ini bersama-sama di era pandemik COVID-19 yang masih dalam keadaan membimbangkan ini.
“Saya menyeru kepada seluruh warga USM untuk terus bersatu padu dan memahami erti dan konsep keharmonian hidup bersama di era pandemik yang sebenar dan memahami bahawa hikmah ini adalah satu perjuangan yang belum selesai.
“Ia perlu didepani oleh semua dalam memastikan negara terus terpelihara melalui sikap seluruh rakyat Malaysia yang lebih bertanggungjawab apatah lagi dalam kalangan seluruh warga USM yang seharusnya memikul tanggungjawab tersebut dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan pihak berwajib dan seterusnya menjaga nama baik institusi,” kata Faisal Rafiq.
Beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia 2021 kepada semua warga USM dalam kalangan pelajar mahupun stafnya serta juga para alumninya.
“Saya juga yakin seluruh warga USM ini termasuk para pelajar akan sentiasa memastikan perjuangan diteruskan dalam usaha menjamin negara supaya terus maju, aman, dan makmur,” katanya lagi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 463