USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘ALAMAK, BERAT BADAN TAK NAIK!!!’; WEBINAR KESIHATAN KUPAS ISU TUMBESARAN ANAK-ANAK

USM PULAU PINANG, 7 September 2021 -- Proses tumbesaran anak-anak yang lebih sihat dan penjagaan berat badan adalah antara ilmu yang perlu dipelajari oleh setiap ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka membesar dengan baik.

Justeru, Pusat Sejahtera dengan kerjasama Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program Susu “Household Nutrition” USM, satu inisiatif baru 2021 di bawah Talent Management and Well-Being, hari ini.

Bersempena dengan program tersebut, sesi perkongsian secara dalam talian berbentuk Webinar berkaitan susu dan perkembangan kanak-kanak telah diadakan.

Ia menampilkan tiga penceramah universiti, masing-masing pakar dalam bidang kanak-kanak, kesihatan awam dan pemakanan.

Pelbagai isu dikupas berkaitan perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak yang sihat, isu berat anak yang tiada peningkatan dan juga kebaikan meminum susu.

Salah satu ceramah tersebut disampaikan oleh Pegawai Dietetik, Hospital USM, Kampus Kesihatan, Ruqayyah Muhammad dengan tajuk ‘Alamak, Berat Badan Tak Naik!!!’.

berat_1.jpg

Ruqayyah yang juga penulis buku 'Diet Mak Mak dan Diet Bukan Mitos' itu berkata, pengambilan makanan anak-anak merupakan perkara yang penting dalam mencorakkan tumbesaran mereka.

Katanya, perkembangan serta tumbesaran anak-anak ini perlu dipantau sejak lahir dengan melihat kepada beberapa faktor, antaranya bayi pramatang, kekurangan susu dan sebagainya.

“Ibu bapa juga perlu pantau graf pertumbuhan anak-anak, yang mana ia perlu selari dengan usia.

“Sebagai contoh, sekiranya anak pada usia 6 bulan berat badannya statik, ibu bapa perlulah rujuk kepada pakar kesihatan seperti Pegawai Sains Makanan atau Dietetik di hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya.

berat.jpg

Menurut Ruqayyah, berat badan bayi atau kanak-kanak yang tidak seimbang juga boleh disebabkan oleh kekurangan makanan yang sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Katanya, piramid makanan boleh dijadikan sebagai panduan utama dalam pemilihan makanan untuk anak-anak.

Ruqayyah turut menyarankan ibu bapa untuk mengikuti waktu makan secara teratur serta makan di meja supaya dapat memupuk tabiat fokus ketika menikmati makanan.

Katanya lagi, tiada istilah makanan yang tidak boleh dimakan, namun ia perlulah dimakan secara berpada-pada kerana setiap makanan di muka bumi mempunyai khasiatnya tersendiri.

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 583

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024