USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CENPRIS TERUS MENYELUSURI SEJARAH DAN WARISAN PULAU PINANG DAN SEBERANG PERAI

USM PULAU PINANG, 9 September 2021 --Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan Program Dialog “Menyelusuri Sejarah dan Warisan Pulau Pinang dan Seberang Perai” siri 4 secara dalam talian pada hujung minggu ini.

WhatsApp_Image_2021-08-01_at_15.42.11.jpeg

Menurut Pengarah CENPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, pelaksanaan program ini adalah di bawah Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya dan Pelancongan dan perbincangan tajuk lebih menjurus kepada perniagaan haji di Pulau Pinang sebagai penyumbang awal ekonomi Melayu.

“Matlamat program ini adalah untuk mengupas isu dan fakta sejarah, khususnya mengenai peranan orang Melayu di dalam sejarah awal Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya lagi, penguasaan masyarakat Melayu dalam perniagaan di Pulau Pinang sangat menonjol sehingga tahun 1860-an dan keadaan ini kekal sehinggalah kemasukan beramai-ramai imigran lain, khususnya Cina pada pertengahan abad ke-19.

“Ekoran daripada persaingan masyarakat berbilang kaum ini, masyarakat Melayu beransur-ansur terkebelakang dan tertinggal dalam persaingan ekonomi termasuk perniagaan, walhal dalam keadaan sebenar masyarakat Melayu sangat menonjol dalam perniagaan haji di bandar George Town,” jelasnya lagi.

Tambahnya, keadaan ini berkait rapat dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai tempat berlepas jemaah haji ke Makkah sejak pertengahan abad ke-19 dan peranan ini kekal sehingga tahun 1977 apabila pengangkutan kapal laut digantikan dengan perkhidmatan kapal terbang. Namun, selepas beberapa tahun perniagaan haji mulai merosot atas faktor-faktor tertentu.

“Oleh sebab itu, pihak kami mengambil inisiatif ini untuk membongkar zaman kegemilangan perniagaan haji sehingga zaman kemerosotannya,” jelasnya yang mengajak semua untuk mengikuti perbincangan lanjut dalam sesi dialog ini nanti.

Pelaksanaan program ini juga dapat memberi pencerahan dan membangkitkan kesedaran masyarakat berkaitan sumbangan orang Melayu di dalam ruang lingkup sejarah Pulau Pinang.

Program Dialog ini akan diadakan pada 11 September 2021 (Sabtu), jam 9.30 pagi - 11.30 pagi melalui platform FB Live

https://www.facebook.com/Centre-for-Policy-Research-and-International-Studies-1783467041876141/

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 453

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024