USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INOVASI ISOPOD USM, JIMAT KOS DAN BERPOTENSI TINGGI UNTUK DIKOMERSIALKAN

USM KUBANG KERIAN, 1 September 2021 -Isolation Transportation Pod (ISOPOD) yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik dari Kampus Kejuruteraan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan inovasi baharu dalam pengangkutan dan pengasingan pesakit dengan kos yang lebih murah serta berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal (PPKM), Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah berkata, ISOPOD ini boleh digunakan untuk mengasingkan pesakit COVID-19 dari persekitaran yang terbuka terutamanya ketika proses pemindahan mereka dari rumah ke hospital.

WhatsApp_Image_2021-09-09_at_12.31.10.jpeg

“Melalui penggunaan ISOPOD, risiko jangkitan kepada petugas kesihatan atau orang lain dalam persekitaran yang sama boleh dielakkan dan penggunaannya tidak terhad kepada COVID-19 sahaja malah penyakit berjangkit lain juga,” kata Jamaluddin.

“Selain dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan utama seperti penapis udara dan dapat mengekalkan tekanan rendah serta stabil di dalamnya berbanding persekitaran, ISOPOD ini juga mempunyai reka bentuk khas mudah alih yang boleh disesuaikan penggunaannya di dalam ambulan,” tambah beliau.

Sementara itu, menurut Ketua Penyelidik yang juga pensyarah di PPKM, Dr. Muhammad Iftishah Ramdan, idea untuk menghasilkan ISOPOD ini tercetus apabila Dekan PPKM dihubungi oleh pihak Hospital USM yang sedang berdepan dengan pertambahan bilangan kes COVID-19 pada tahun lalu, 2020.

WhatsApp_Image_2021-09-09_at_12.31.10_1.jpeg

“Sehubungan dengan itu, melalui geran projek libatsama universiti-komuniti dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, saya bersama 10 orang penyelidik lain telah diberi tanggungjawab untuk memulakan projek ini yang pada asalnya dijadualkan dari 18 April hingga 31 Oktober tahun yang sama, iaitu 2020.

“Walaupun pada awalnya kami berdepan dengan kekangan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan keluar masuk penyelidik dari kalangan pelajar yang terlibat dalam projek ini ke dalam kampus dan juga beberapa kekangan lain, projek ini tetap berjaya disiapkan pada Mei 2021,” kata Iftishah.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata ISOPOD ini berfungsi untuk melindungi mereka yang bertugas di barisan hadapan (frontliners) yang terdiri dari kalangan doktor, pegawai perubatan, jururawat dan sukarelawan.

Berbanding dengan harga pasaran RM40,000, ISOPOD yang dihasilkan oleh penyelidik USM adalah jauh lebih murah dengan hanya menggunakan satu persepuluh daripada kos yang tersebut dan ia diharap dapat menjadi salah satu alternatif penjimatan kepada Hospital USM kelak.

WhatsApp_Image_2021-09-09_at_12.31.11.jpeg

Melalui satu majlis ringkas pada hari ini di sini, prototaip ISOPOD ini telah diserahkan oleh Iftishah kepada Timbalan Pengarah (Infrastruktur & Aset) Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

Berikut adalah senarai penyelidik yang turut terlibat di dalam projek ini:

PENSYARAH

  1. Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  2. Profesor Madya Ir. Dr. Abdus Samad Mahmud (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  3. Dr. Mohd Azmi Ismail (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  4. Dr. Ahmad Faizul Hawary (Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa)
  5. Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman (Hospital USM)
  6. Profesor Madya Dr. Tuan Hairulnizam Tuan Kamaruzaman (Hospital USM)

PELAJAR

  1. Mark Selvan (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  2. Alexander Tan Wai Teng (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  3. Yeoh Zi Yi (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)
  4. Lim Ban Aik ((Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa)
  5. Lim Wern Pink (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik)

Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Ihsan Dr. Muhammad Iftishah Ramdan

  • Created on .
  • Hits: 1329

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024