USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPIK RAI PELAJAR PENERIMA ANUGERAH SIJIL DEKAN SECARA ALAM MAYA

WhatsApp_Image_2021-08-25_at_17.00.00_2.jpeg

USM PULAU PINANG, 9 September 2021 -- Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan Majlis Penganugerahan Sijil Dekan dengan jayanya melalui alam maya pautan Webex.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong di laman media sosialnya, majlis secara maya hari ini dilangsungkan dengan menggabungkan hasil pencapaian tiga semester yang lalu untuk penerima yang layak menerima sijil dekan.

“Dikhabarkan sekitar 600 lebih orang pelajar menerima anugerah ini dan ini merupakan satu angka yang luar biasa buat PPIK dan seterusnya ini dapat menjadi pendorong semangat untuk semua pelajar terus berusaha walaupun keadaan pandemik masih belum reda,” jelasnya.

Tambahnya, setiap kejayaan memerlukan pengorbanan dan usaha kental dari semua pihak kerana kejayaan tidak akan muncul dengan sendirinya, ianya perlu dicipta dengan acuan yang betul.

“Namun, jangan sesekali dilupakan, setiap kejayaan yang kita beroleh hari ini juga adalah hasil sokongan, bantuan, tunjuk ajar, bimbingan dan doa daripada banyak orang dan berterima kasihlah kepada mereka ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, sesungguhnya orang yang rajin memikirkan kebaikan orang lain akan memperoleh kebaikan lipat ganda di hari kemudian.

Bagi pelajar yang menerima anugerah sijil dekan ini pula, penganugerahan secara alam maya ini sangat unik dan mereka amat menghargai usaha USM dalam memberi pengiktirafan ini setelah berpenat lelah dalam memahami segala pelajaran.

Majlis ini turut dihadiri pemangku dekan PPIK, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong dan barisan pensyarah-pensyarah lain.

PPIK di USM adalah salah satu fakulti kemanusiaan tertua di Malaysia.

Ditubuhkan lebih dari 40 tahun yang lalu, ia telah berkembang bersama USM menjadi sebuah pusat akademik dan penyelidikan untuk kemanusiaan, menawarkan program akademik pada peringkat sarjana dan pascasiswazah, mencipta inovasi dan pengetahuan baru melalui penyelidikan, dan berusaha ke arah kemajuan masyarakat melalui pelbagai inisiatif masyarakat-industri.

PPIK berbangga berperanan sebagai sebuah pusat kemanusiaan dalam bidang akademik yang luas, merangkumi pelbagai bidang disiplin ilmu seperti falsafah, peradaban, agama, bahasa, sastera, sejarah, geografi dan terjemahan.

Pengetahuan dan kemahiran yang difokuskan berkaitan kemanusiaan, iaitu pertimbangan estetika, pemikiran kritis, dan analisis, serta etika sangat penting dalam pendidikan universiti kerana mereka ditujukan untuk pengembangan pengetahuan dan kemahiran intelektual.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 982

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024