USM BANGGA KEJAYAAN KONTINJEN MALAYSIA DI PARALIMPIK TOKYO 2020
USM PULAU PINANG, 7 September 2021 -- Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) melahirkan rasa bersyukur dan bangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh kontinjen negara di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kejayaan 3 Emas dan 2 Perak yang diraih oleh negara adalah sesuatu yang amat membanggakan dan menjadi salah satu senjata penyatuan rakyat Malaysia.
“Sukan dapat menyatupadukan kita semua walaupun di mana kita berada dan kejayaan ini boleh dijadikan sebagai salah satu hadiah terindah buat negara yang akan menyambut hari Malaysia pada pertengahan bulan ini,” tambahnya.
Malaysia memenangi 3 Pingat Emas melalui atlet para negara iaitu Bonnie Bunyau Gustin melalui acara angkat berat 72kg; Liek Hou Cheah melalui acara badminton perseorangan lelaki SU5; dan Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh lelaki T20.
Sementara itu, 2 lagi pingat Perak negara disumbang oleh Chew Wei Lun melalui acara Boccia kategori individu campuran BC1 dan Jong Yee Khie melalui acara angkat berat 107kg.
USM juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada atlet lontar peluru (lelaki) F20, Muhammad Ziyad Zolkefli yang turut menampilkan pencapaian yang cemerlang walaupun kemenangan pingat emas dan rekod dunianya ditarik balik sejurus selepas acara beliau berlangsung.
Juara keseluruhan temasya kali ini digenggam oleh China (96 Emas) diikuti Great Britain (41 Emas) dan Amerika Syarikat (37 Emas).
Malaysia telah menghantar 22 atlet yang menggalas cabaran dalam 9 jenis sukan ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 24 Ogos 2021 hingga 5 September 2021.
Sebagai rekod, Malaysia mengambil bahagian dalam Sukan Paralimpik sejak 1972 dan telah mengumpul 16 pingat iaitu 6 emas, 4 perak dan 6 gangsa.
Edisi Paralimpik kali ini melibatkan 22 jenis sukan dengan 539 acara sukan yang dipertandingkan di 21 lokasi berbeza di seluruh bandaraya Tokyo, Jepun.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Poster: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 392