WARGA USM PERLU PATUHI SOP KEMASUKAN KE KAMPUS INDUK
USM PULAU PINANG, 8 September 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Nerve Centre (NC) mengikuti rapat perkembangan terkini kes COVID-19 harian yang masih tinggi di negeri Pulau Pinang dan telah mengambil keputusan yang memerlukan perhatian semua warga berhubung dengan urusan keluar masuk harian ke dalam kampus secara rasmi ataupun tidak rasmi.
Menurut Pengerusi Nerve Centre, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, semua warga USM yang mempunyai urusan adalah dibenarkan untuk memasuki kampus mengikut pintu-pintu yang dibuka mengikut masa dan lokasi seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan.
“Walau bagaimanapun, bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan keseluruhan warga USM sentiasa dalam kawalan, warga USM yang termasuk dalam kategori berikut adalah TIDAK DIBENARKAN memasuki kampus,” tegasnya.
Antaranya ialah :
- Positif COVID-19
- Kontak rapat kepada individu positif COVID-19
- Kes suspek COVID-19
- Individu dalam pemantauan (Person Under Investigation, PUI)
- Tidak sihat dan bergejala
- Sedang menunggu keputusan saringan COVID-19
- Memakai gelang berwarna yang diberi KKM
- Individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian (Home Surveillance Order)
Tambahnya, semua staf sama ada yang Bekerja Dari Rumah atau yang hadir bertugas ke pejabat hendaklah merekodkan kehadiran mereka melalui Sistem Kehadiran Kerja Fleksi (SKKF).
“Seluruh warga Kampus Induk diingatkan untuk akur dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP), garis panduan serta ketetapan yang dikuatkuasakan oleh MKN, KKM dan USM dari masa ke semasa supaya perancangan pengurusan wabak COVID-19 dapat dijayakan dengan teratur,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, semua staf dan pelajar digesa supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau 'hand sanitizer' di samping mengamalkan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan diri dari dijangkiti penyakit.
“Sekiranya mengalami gejala COVID-19, staf dan pelajar hendaklah segera mendapatkan rawatan dari fasiliti kesihatan yang berdekatan. Rawatan awal dapat mengurangkan risiko penyakit menjadi lebih kritikal,” tambahnya.
Penubuhan Nerve Centre (NC) adalah ekoran kes COVID-19 dan pandemik yang melanda negara bermula pada Mac 2020. NC merupakan ilham daripada Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada ketika itu, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
NC berperanan sebagai “nadi” kampus bagi mengekang penularan wabak pandemik dalam kampus.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 481