USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA WARGA USM UNTUK MANFAAT MASYARAKAT

usmpendang1

PENDANG, Jun 2013 – Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan USM dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM dan Jawatankuasa Masjid Jamiul Rahman, Kariah Paya Kelubi, Pendang, Kedah telah mengadakan Program Libatsama Komuniti, USM Bersama Masyarakat baru-baru ini.  

Program yang diadakan ini memberi peluang kepada warga USM mendekati penduduk tempatan menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Pengarah Kampus, Kampus Kejuruteraan USM dalam ucapannya berkata program seperti ini seharusnya dilaksanakan dengan lebih kerap kerana ianya banyak memberi manfaat kepada golongan terkebawah sesuai dengan konsep bottom billion yang menjadi inspirasi di USM.

“Menerusi program ini juga, ia mampu mendekatkan USM dengan masyarakat dan tidak hanya sekadar sebuah institusi pendidikan sahaja,” tambahnya lagi.

Dalam program yang sama, beliau turut merasmikan dewan serbaguna masjid berkenaan yang baru siap dibina. Dewan As-Syakirin ini dibina oleh penduduk kampung berkenaan dan melibatkan kos melebihi RM120 ribu ringgit.

Dana pembinaan dewan ini adalah hasil sumbangan penduduk kampung, orang perseorangan dan USM sendiri di mana tabung kutipan pembinaan dewan ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Nasirun Hj. Mohd Saleh, Pengarah Pusat Islam USM pada tahun 2011.

usmpendang2

Pada majlis itu juga, beliau turut berbesar hati menyerahkan 10 unit komputer terpakai dan 80 unit alat Pengasing Getaran untuk Mesin Rumput. Komputer terpakai berkenaan adalah sumbangan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia untuk kegunaan anak-anak dan penduduk kampung tersebut. Manakala alat pengasing getaran mesin rumput disumbangkan kepada penduduk oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, hasil inovasi sekumpulan penyelidik mereka yang diketuai oleh Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin.

Program selama dua hari ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua golongan. Antaranya ialah aktiviti Pameran dan Kursus ICT, Forum Perdana, Kuliah Subuh dan Program Pemeriksaan Kesihatan.

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM juga tutut mengadakan ceramah tentang Kanser Payudara dan Pameran Pendidikan Tentang Ubat-ubatan. Selain itu, program lain seperti pertandingan mewarna dan gubahan turut diadakan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamiul Rahman, Ustaz Nazrul Hassan, Penolong Pengarah Kanan, Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan dan Ustaz Mohammad Shukri Osman, Pegawai Hal Ehwal Islam IPPT.

  • Created on .
  • Hits: 1581

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024