2,343 KAKITANGAN USM KATEGORI B40 TERIMA BANTUAN SUSU UHT
*Majlis ini dijalankan dengan pematuhan SOP yang ketat termasuk penglibatan minimum pengurusan tertinggi universiti dan hanya dua orang wakil kakitangan B40 hadir sebagai simbolik penerima sumbangan susu UHT.
USM PULAU PINANG, 7 September 2021 – Sejumlah 2,343 kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) berkategori B40 yang mempunyai anak berumur 12 tahun dan ke bawah dari kesemua kampus USM, menerima sumbangan bantuan susu UHT (ultra-high temperature processing) sebagai langkah proaktif USM bagi menggalakkan perkembangan mental dan fizikal anak-anak kakitangan tersebut.
Program ‘Staff Household Nutrition Milk’ atau Bantuan Susu UHT kepada kakitangan B40 USM ini merupakan salah satu daripada 12 projek/program strategik baharu USM bagi tahun 2021 yang diikhtiarkan oleh Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti di bawah inisiatif ‘Talent Management and Staff Wellbeing’.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, inisiatif ini bukan sahaja membantu perkembangan anak-anak dalam kalangan kakitangan B40 yang kurang berkemampuan, malah ia turut memperkasakan usaha peningkatan bakat dan kesejahteraan kakitangan USM berada pada tahap yang disasarkan.
“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pendaftar dan Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan dan Pergigian) USM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan merealisasikan program ini dengan bantuan beberapa PTJ lain; syabas juga buat AJK yang terlibat kerana berjaya menyediakan webinar bersiri bagi menerangkan khasiat dan manfaat susu bagi perkembangan kanak-kanak,” kata beliau sebelum menyampaikan sumbangan bantuan susu UHT kepada wakil kakitangan B40 yang hadir di majlis serba ringkas pada pagi ini di sini.
Kata beliau lagi, USM amat menitikberatkan kebajikan anak-anak kakitangannya dengan menggalakkan tabiat meminum susu dari seawal usia secara berterusan kerana susu merupakan makanan seimbang yang mengandungi hampir kesemua nutrien yang diperlukan untuk kesihatan optimum, yang dapat membantu proses tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak, sekaligus membolehkan mereka membesar dengan sihat dan kuat.
Berucap di majlis yang sama, Pengarah Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan dan Pergigian) USM, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, kerjasama kukuh di antara Jabatan Pendaftar, Pusat Sejahtera dan ahli jawatankuasa berjaya merealisasikan hasrat universiti bagi memastikan kebajikan kakitangan-kakitangannya sentiasa terjamin.
“Susulan kepada pembentangan Naib Canselor semasa perjumpaan bersama ketua-ketua jabatan pada 26 November 2020 di bawah ‘Talent Management and Wellbeing’, Jabatan Pendaftar dan Pusat Sejahtera telah bermesyuarat dipengerusikan oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Ali, seterusnya mula merancang, mengambil tindakan dan mengatur ‘timeline’ bagi menjadikan program yang julung kali diadakan pada skala sebesar ini satu kenyataan,” jelas beliau.
Normala turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama terutamanya Jabatan Pendaftar; pakar dan kakitangan terlibat dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT); kakitangan Unit Kesihatan, Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan; kakitangan terlibat dari Kampus Kesihatan dan akhir sekali semestinya semua staf Pusat Sejahtera yang telah berusaha dan memberi komitmen yang tinggi bersama-sama menjayakan program ini dari awal sehingga ke hari ini.
Berdasarkan statistik kakitangan yang dikenal pasti menerima sumbangan mengikut kampus, seramai 763 orang kakitangan adalah dari kampus induk, 208 dari Kampus Kejuruteraan, 163 dari IPPT manakala 388 orang dari Kampus Kesihatan dan 821 dari Hospital USM.
Sumbangan ini akan dilakukan sebanyak empat kali iaitu pada awal bulan September, Oktober, November dan Disember 2021 dengan setiap sekali serahan sebanyak 24 kotak (satu karton) bagi setiap staf.
Yang turut hadir ke majlis adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Sumber Manusia, Mohd Azizudin Mohd Shariff mewakili Pendaftar USM; dan Timbalan Pengarah, Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arsad mewakili Pengarah IPPT.
Dalam pada itu, majlis ringkas yang sama dengan pematuhan penuh SOP turut diadakan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan Kubang Kerian USM, yang mana sumbangan bantuan susu UHT telah diserahkan oleh Pengarah Kampus kepada wakil-wakil penerima dari kampus masing-masing.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 650