AISHAH MAHU KEMBALI BERBAKTI KEPADA USM SEBAIK TAMAT PENGAJIAN DI INDIA
PULAU PINANG, 3 September 2021 -- Penuntut Program Antarabangsa Doktor Perubatan USM-KLE di India, Nur Aishah Budiman, 21, mahu kembali berbakti kepada Universiti Sains Malaysia (USM) sebaik tamat pengajiannya kelak.
Walaupun sudah berada di negara India, namun dalam diri Aishah tersemat jiwa USM apabila kita melihat isi kandungan di Youtube miliknya yang viral sentiasa mempromosikan USM.
Saluran YouTube yang menggunakan nama Aishah Budiman itu kini sudah mempunyai 30,000 subscriber dan kebanyakan videonya berkisar mengenai kehidupan sebagai pelajar USM di kampus USM-KLE sekaligus memberi inspirasi kepada mereka yang ingin menyambung pelajaran di sana.
Nur Aishah, pelajar tahun kedua, berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian di India menerusi program USM-KLE disebabkan India adalah salah satu negara yang popular dalam bidang perubatan.
Katanya, peluang yang diberikan USM untuk dia melanjutkan pengajian di India amat dihargai dan disebabkan itu dia bercita-cita mahu kembali menabur bakti sebagai doktor di Hospital USM Kubang Kerian, Kelantan setelah bergraduasi kelak.
"Semestinya saya mahu (kembali berbakti di USM); semasa saya mengikuti program Pra-universiti USM, saya berpeluang melawat kampus USM di Kubang Kerian.
"Melihat suasana sekitar hospital dan kampus USM Kubang Kerian saja sudah cukup membuatkan saya jatuh hati dengan tempat itu," katanya.
Nur Aishah yang berasal dari Teluk Intan Perak ketika ditanya mengenai rahsia kejayaannya dalam pelajaran berkata, faktor cita-cita ingin menjadi seorang doktor telah mendorongnya untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran.
Katanya lagi, dorongan dari rakan-rakan serta senior turut menguatkan semangatnya termasuk mahu memperoleh tajaan untuk belajar di India kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa.
Berkongsi cara pembelajaran di negara India ketika pandemik COVID-19, Nur Aishah berkata, mereka belajar secara dalam talian seperti pelajar lain di seluruh dunia memandangkan kes COVID-19 sangat tinggi di negara tersebut.
"Jika kita masih ingat, gelombang kedua COVID-19 di India amat tinggi bilangan kesnya sehingga mencecah hampir 400,000 kes sehari. Namun apa yang boleh saya katakan, 'total lockdown' yang dilaksanakan ternyata amat berkesan sehingga mampu menurunkan kes kepada 40,000, dan pengawalannya amat ketat di sini.
"Semasa situasi tersebut, kami belajar secara dalam talian sehingga kes beransur pulih, barulah kami dibenarkan untuk hadir ke kelas secara berperingkat," ujarnya.
Anak keempat daripada enam beradik ini turut berkongsi kerinduannya terhadap keluarga di Malaysia dan juga makanan-makanan kegemarannya.
"Saya amat rindukan semua ahli keluarga saya, dan semestinya makanan dari Malaysia yang bagi saya tiada tandingannya berbanding dengan negara lain.
"Saya amat rindukan lemang dan rendang, saya katakan ini kerana semasa Hari Raya Aidiladha yang lalu, saya tak sangka saya menangis kerana mengidam sangat lemang dan rendang," katanya.
Ditanya mengenai sambutan kemerdekaan yang disambut 31 Ogos lepas, Nur Aishah berkata, penuntut Malaysia di negara itu sudah dapat merasai kehangatan sambutan kemerdekaan sejak awal bulan Ogos lagi.
"Terdapat beberapa orang pelajar USM-KLE yang menggantung bendera Malaysia diluar bilik mereka; walau jauh dari Malaysia, namun dihati sentiasa dekat.
"Pada 31 Ogos lepas, pelajar USM-KLE menyambut hari kemerdekaan bersama-sama dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang menghidupkan suasana bulan kemerdekaan.
"Antaranya ialah gerai-gerai jualan makanan mengikut negeri yang dikendalikan oleh pelajar USM-KLE sendiri dari memasak hingga menjual, pertandingan permainan tradisional dan sebagainya," katanya.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Aishah Budiman
- Created on .
- Hits: 2766