USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANTAN PENGARAH KAMPUS KESIHATAN USM DIPILIH TOKOH MAAL HIJRAH 1442H

IMG 0719 2

USM PULAU PINANG, 1 September 2021 – Mantan Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1442H peringkat USM sempena Sambutan Maal Hijrah 1443H secara dalam talian yang diadakan pagi ini.

Sumbangan pakar endokrinologi ini dengan beberapa kejayaan penyelidikan dikecapinya disamping dedikasi kepimpinan beliau melalui pengalaman mentadbir Kampus Kesihatan membolehkan beliau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah buat kali ini.

Mafauzy yang dilahirkan pada 15 November 1956 di Kota Baharu, Kelantan, sebelum ini bersara wajib sebagai penjawat awam pada 14 November 2016 selepas hampir 33 tahun berkhidmat.

IMG 07231

Sejarah perkhidmatan cemerlang Mafauzy bermula sejak awal penubuhan Kampus Kesihatan USM pada tahun 1983, dengan kerjaya beliau sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Dekan pada tahun 1995.

IMG 0731

Mafauzy kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM yang kedua bermula tahun 2001.

Mafauzy berkata, penghargaan yang diberikan oleh USM merupakan satu anugerah yang tidak ternilai bagi dirinya.

Katanya, beliau sangat terharu kerana walaupun sudah bersara namun jasanya kepada universiti masih dihargai.

“Berkhidmatlah dengan penuh keikhlasan demi agama, bangsa dan negara.

“Sebagai staf universiti berusahalah sedaya mungkin dalam apa jua bidang bagi membangunkan menara ilmu tercinta demi kelangsungan ilmu buat generasi mendatang,” kataya.

IMG 0757

Mafauzy kini meneruskan bakti secara kontrak sebagai Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Kelantan.

Pemilihan Mafauzy membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000, sijil penghargaan, seutas jam tangan beserta trofi.

Selain itu, seramai 12 kakitangan USM menerima Anugerah Kecemerlangan Khas Pusat Islam dan 9 kakitangan menerima Anugerah Khas Fronliner COVID-19 (pemandu van pesakit COVID-19).

Bagi anugerah ini, mereka menerima wang tunai RM500, jam tangan dan sijil penghargaan.

Sementara itu, 4 lagi kakitangan menerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah bagi setiap kampus dan menerima wang tunai RM1,000, jam tangan serta sijil penghargaan.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat USM yang diadakan secara dalam talian Webex dan juga Facebook Live.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 856

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024