RAHSIA KEJAYAAN OLYMPIAN - DIRI YANG KENTAL
USM PULAU PINANG, 30 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah berjaya menganjurkan program bual bicara bersama jaguh Olimpik negara, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang dalam acara Basikal Trek dan Tan Sri Dr. M. Jegathesan dalam acara Olahraga.
Dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' dan 'The Flying Doctor', sesi yang berlangsung selama sejam setengah ini telah menarik minat penonton dan paling mencuri tumpuan gelagat moderator, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan(PPSK), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian yang berjaya mengendalikan program dengan cemerlang.
Dalam program “How To Be the Best in the World: Lessons from Successful Olympians” ini, Azizulhasni berkongsi antara rahsia kejayaan beliau adalah 4D iaitu halatuju (Direction), dedikasi (Dedication), keazaman (Determination), dan disiplin (Discipline).
“Untuk menjadi juara, kita perlulah memberikan sepenuh perhatian kepada setiap latihan yang dihadiri, menjaga pemakanan, berehat dan pemulihan diri yang jitu setiap hari tanpa ada rasa untuk mengalah,” jelas pemenang pingat Perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara Keirin baru-baru ini.
Tambahnya, atlet mahupun sesiapa yang ingin berjaya perlulah meletakkan sepenuh perhatian dan komited terhadap apa yang ingin dicapai itu, serta perlulah melalui fasa pengorbanan dalam hidup ini.
“Saya juga meletakkan semangat tidak mudah putus asa dalam diri saya, yang mana ianya telah membuahkan hasil untuk setiap kejohanan yang saya sertai,” katanya.
Ujarnya lagi, setiap rintangan yang dilalui telah berjaya mengajar beliau untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan dalam erti kata lain, jika rintangan berjaya ditempuhi, kita akan berjaya, tidak kira apa yang kita lakukan.
Sementara itu, bagi Jegathesan pula, semasa beliau mengecapi kejayaan dahulu, ianya tidak datang dengan mudah, banyak perkara yang terpaksa ditempuhi dan dilalui pada zaman 60-an tersebut.
“Mental dan juga keyakinan diri yang padu perlu diterapkan dalam diri seseorang yang ingin mencapai kejayaan, tidak kira di zaman mana anda berada kerana jika otak telah berkata anda tidak mampu menang, jika perasaan tersebut dilayan, anda akan tewas sebelum sempat masuk ke gelanggang,” jelasnya yang juga merupakan Pro-Canselor USM.
Tambahnya, apabila keluar meninggalkan rumah untuk melakukan apa sahaja tugasan, sentiasa letakkan keyakinan diri yang jelas tentang apa yang ingin dilakukan itu akan membuahkan kejayaan.
“Sentiasa tanamkan dalam diri yang pesaing anda tidak harus tahu bahawa anda mempunyai sebarang keraguan, kerana jika tidak, anda pasti akan menemui kegagalan,” katanya lagi.
Program secara dalam talian anjuran Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) ini turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, dan ditayangkan secara langsung melalui platform Facebook Rasmi Universiti Sains Malaysia dan YouTube USMTV.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 613