USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JUMLAH WANITA TERLIBAT DENGAN DADAH MENURUN

usmwomen1

PULAU PINANG, 13 Jun 2013 – Jumlah wanita yang terlibat dengan dadah telah menurun secara mendadak daripada seramai 580 orang pada tahun 2010 kepada 192 orang sahaja pada tahun 2011. Ini adalah hasil daripada program transformasi dinamakan Klinik Cure and Care yang dijalankan selari slogan pentadbiran 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Perkara ini telah dibentangkan oleh Penolong Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam forum komuniti bertajuk Wanita dan Penyalahgunaan Bahan anjuran Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, USM dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM yang diadakan di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey dalam ucapan perasmian beliau, berkata isu berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita adalah perkara yang harus dititikberatkan oleh semua masyarakat. 

“Oleh yang demikian, forum ini diadakan untuk memberi peluang kepada warga Pulau Pinang amnya dan USM khususnya mendapat pandangan dan reaksi daripada pihak luar di samping mewujudkan kesedaran tentang isu-isu semasa lain berkaitan wanita di Malaysia,” kata beliau.

usmwomen2

Ahli panel yang terlibat dalam perkongsian ilmu tersebut adalah Pengarah Projek, Penang Family Health Development Association, Christine Low; Timbalan Penolong Ketua Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr. Janizah Abdul Ghani; Penolong Pengarah AADK, Ahmad Nazir Long dan juga Pengerusi Amanita, Polis DiRaja Malaysia, ASP Selvi. Forum telah dipengerusikan oleh Dr. Juliana Abdul Wahab, pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi USM.

Menurut Selvi, di Pulau Pinang terdapat 10 buah balai polis yang dijadikan ‘hotspot’ bagi kes-kes jenayah. Menurut kajian jabatan beliau, terdapat juga wanita yang terlibat dengan kes-kes kecurian motosikal, pecah rumah dan juga samun. Perkara ini berlaku dengan dorongan kebendaan, tertekan dengan kemiskinan dan juga pengaruh rakan-rakan.

Berdasarkan laporan AADK, penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine-Type- Stimulant (ATS) seperti syabu dan ecstasy adalah yang paling banyak diberkas. Ini adalah kerana bahan ini mudah dan cepat merangsang pengguna berbanding bahan yang lain.

Sementara itu, Christine yang terlibat secara langsung untuk memberikan kaunseling dan juga membantu wanita-wanita yang bermasalah berkata, terdapat pelbagai sebab yang menjerumuskan mereka ke kancah masalah ini.

“Ada wanita yang dipaksa oleh suami sendiri untuk menjadi pelacur bagi mendapatkan pendapatan yang lumayan dan ada juga yang terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pelanggan. Percaya atau tidak, perkara ini berlaku di Pulau Pinang, kawasan bandar dan bukannya di kawasan pendalaman,” tambah beliau.

Dr. Janizah pula banyak mengendalikan kes-kes pesakit HIV dan beliau membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mendapatkan sesi kaunseling dan bantuan daripada kerajaan dan juga agensi-agensi lain.

Menurut beliau, kebanyakan pembawa virus HIV ini akan menyendiri, oleh itu, rakan dan juga ahli keluarga harus memainkan peranan penting untuk memberikan bantuan dari segi moral, sokongan dan juga emosi. -- Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa


  • Created on .
  • Hits: 1794

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024