PROSES PEMILIHAN KONTRAKTOR (BAIK PULIH SECARA UNDIAN) DI USM BERINTEGRITI, TELUS DAN ADIL
PULAU PINANG, 27 Ogos 2021 -- Berdasarkan Arahan Perbendaharaan (AP) 180.1, Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa bagi kerja-kerja kecil dan penambahbaikan yang tidak mengubah struktur asal yang bernilai tidak melebihi RM50,000, ia boleh dipelawa secara 'requisition' dengan menggunakan Jadual Kadar Harga yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) USM serta dipersetujui dI peringkat pengurusan USM.
Pemilihan kontraktor dibuat secara adil melalui undian dalam kalangan kontraktor kerja yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dan Sijil Taraf Bumiputera (STB) dengan Gred G1, kategori dan pengkhususan berkaitan.
Bermula tahun 2021, permohonan baik pulih yang diterima di JPPA akan melalui proses kerja yang lengkap bermula daripada penyediaan anggaran kos, perakuan kerja baik pulih, penyediaan spesifikasi sehingga pelaksanaan sesi cabutan undi kerja.
Hebahan pelawaan kerja juga dipaparkan secara imbasan Kod QR di dalam laman Facebook rasmi JPPA USM dan Papan Notis di USM.
Melalui Fasa 2/2021, sebanyak 20 kerja baik pulih ditawarkan dengan 17 kerja melibatkan bidang kejuruteraan awam dan 3 kerja melibatkan bidang kejuruteraan elektrikal yang akan dilaksanakan di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan.
Pelawaan pendaftaran ini mendapat sambutan 360 kontraktor awam dan 21 kontraktor elektrikal yang diadakan secara pandu lalu pada 18 Ogos 2021.
Sesi cabutan telah diadakan secara langsung melalui Facebook rasmi JPPA USM pada 25 Ogos 2021, dengan proses cabutan diterajui Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Ketua Penolong Bendahari, Jabatan Bendahari, Ismail Jamaluddin.
Pelaksanaan kerja akan bermula sekitar 15 September 2021 dan akan dilaksanakan dalam tempoh 4 hingga 6 minggu selepas selesai proses pengeluaran Pesanan Rasmi (P.O).
Sebagai kesimpulannya, pelaksanaan kerja baik pulih secara undian dilaksanakan bagi memastikan agihan peruntukan dapat disalurkan dengan seimbang kepada semua kontraktor dengan menekankan aspek akauntabiliti, integriti, telus serta adil.
Proses ini secara langsung mengurangkan masa bekerja daripada kaedah terdahulu yang memerlukan 3 peringkat jawatankuasa sebelum Borang Pesanan dikeluarkan kepada 1 proses kerja sahaja.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut bangga dan gembira dengan satu lagi inovasi dari USM, dan menyifatkan pendekatan pemilihan kontraktor untuk kerja baik pulih aset universiti secara undian ini adalah telus dan adil serta meningkatkan tahap integriti implementasi projek yang mesti dilaporkan untuk pengetahuan ramai.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 691