KEMERDEKAAN MALAYSIA: APA KATA ALUMNI KITA?
25 Ogos 2021
Dalam masa kurang daripada seminggu, seluruh rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-64.
Tahun ini, kedatangan Bulan Kebangsaan atau Kemerdekaan sekali lagi disambut dalam suasana normal baharu pandemik COVID-19 seperti tahun lepas.
Biarpun dalam keadaan normal baharu, usaha menyemarakkan semangat cintakan negara harus diperhebat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda sekali gus menelusuri erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Kita semua tahu pada detik 31 Ogos 1957, negara kita telah bebas daripada cengkaman penjajah dan memungkinkan kita membentuk negara bangsa diri yang merdeka dan berdaulat.
Mengambil kesempatan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, Alumni Bulletin USM telah menemu bual beberapa alumni USM dari latar belakang berlainan untuk mengetahui apakah harapan, aspirasi atau impian mereka dalam menyambut Hari Kemerdekaan kali ini, yang pastinya terdapat kelainan berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, berikutan negara dan dunia masih dilanda pandemik COVID-19.
Berikut ialah petikan-petikan temu bual tersebut:
Semangat kemerdekaan dan hari bersejarah negara perlu sentiasa diingati dalam apa jua keadaan pun. Ia adalah momen bersejarah yang perlu diingati oleh setiap dari rakyat Malaysia. Sebagai guru, sambutan kemerdekaan di peringkat sekolah sememangnya akan berlainan dari tahun-tahun sebelum pandemik melanda negara. Namun ia bukan halangan untuk semangat itu disemarakkan dalam jiwa anak-anak.
Banyak alternatif normal baharu yang boleh kita praktikkan. Sebagai contoh, penganjuran pertandingan yang bersesuaian dengan minat murid-murid zaman sekarang termasuk doodle kemerdekaan, tiktok tokoh kemerdekaan, mewarna digital, penghasilan video kreatif dan sebagainya. Sambil mereka seronok beraktiviti, mereka lebih mengenali kemerdekaan berbanding hanya membaca atau mendengar sahaja.
Azlina Binti Man, Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, Pahang; Sains dengan Pendidikan, 2003
Harapan saya sempena sambutan kemerdekaan kali ini ialah rakyat akan terus bersatu-padu, berdiri teguh dan bekerjasama membendung penularan wabak COVID-19. Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa menjaga diri dan keluarga masing-masing. Saya turut berharap semua orang yang disayangi dan yang saya kenali sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera. Sama-sama kita berusaha melindungi diri dan insan tersayang serta berdoa semoga kita dapat kembali kepada kehidupan normal sebelum ini.
Saya rindu akan rutin sebelum pandemik termasuk kembali ke USM, berjumpa dengan rakan-rakan dan pensyarah, melawat di sekitar asrama Indah Kembara, makan tengah hari di kafetaria Red House dan berjogging di Tasik Harapan yang indah dan mendamaikan. Saya juga amat rindu akan makanan yang sedap dan murah di kafetaria Indah Kembara. How I missed the old days!
Bryan Lai Thiem Wah, Wartawan Kanan merangkap Eksekutif Digital, Nanyang Siang Pau, Pulau Pinang; Komunikasi, 2006
Harapan saya untuk sambutan kemerdekaan tahun ini adalah kerjasama dan timbang rasa seluruh rakyat Malaysia untuk menyambut ulangtahun bersejarah ke-64 negara dari kediaman masing-masing. Masyarakat Malaysia haruslah bertanggungjawab dan lebih bersabar dengan mematuhi arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan. Hanya dengan kuasa seluruh rakyat yang membolehkan kita menangani malapetaka COVID-19 ini.
Saya juga amat berharap pada tahun-tahun akan datang, kita akan dapat memenangi perjuangan menentang pandemik COVID-19 dan menyambut Hari Kemerdekaan negara dalam suasana yang cukup meriah dan bermakna. Salam Hari Kemerdekaan!
Madhu Reuban A/L Govindasamy, Siswazah Baharu; Sains Komputer, 2021
Saya ingin melihat para pemimpin yang menerajui negara dapat bersatu hati bersama semua rakyat Malaysia untuk terus berjuang menangani COVID-19 dan dunia pulih seperti sedia kala. Masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu menghayati semangat kemerdekaan dan berjuang untuk mengekalkan keharmonian yang kita kecapi, berkat dari perjuangan nenek moyang kita terdahulu.
Semoga kita semua dapat berusaha melindungi diri dan keluarga masing-masing. Hayati kemerdekaan bersama keluarga tersayang dan patuhi SOP walau di mana kita berada kerana ia juga adalah salah satu bentuk perjuangan untuk kekal sihat dan sejahtera.
Farhana Binti Amiruzan, QI Specialist, KLCC, Kuala Lumpur; Sains Gunaan (Geofizik), 2005
Saya mendoakan semoga semua rakyat Malaysia terus bersatu padu menentang pandemik COVID-19, tanpa mengira ras, bangsa dan agama. Malaysia Boleh!. Kita perlu menyambut ulangtahun kemerdekaan negara walau dalam apa jua keadaan kerana ia melambangkan penyatuan dan semangat bersatuhati masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Salam Malaysia Prihatin dan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 negara buat seluruh rakyat Malaysia!
Efesius Bin Abu Constantine, Guru, SK Stella Maris, Kota Kinabalu, Sabah; Sains Gunaan (Biologi Akuatik), 2006
Setiap rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, sama ada tua atau muda, haruslah menganggap dan melihat diri mereka sebagai perajurit-perajurit yang harus bersatu hati bersama-sama berjuang menentang musuh yang sama iaitu COVID-19. Kerjasama yang sepakat, hati yang nekad dan semangat yang tidak luruh amatlah diperlukan bagi membebaskan dan seterusnya memerdekakan kita daripada pandemik ini. Mari kita kuatkan semangat untuk teruskan perjuangan sehingga COVID-19 berjaya ditewaskan. Malaysia Boleh!
Kathleen Mujan Nandong, Perunding Latihan Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara; Sarjana Muda Sains Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Senibina), 2007
Saya amat berharap Malaysia dapat merdeka dari pandemik COVID-19 dan rakyat Malaysia dapat merdekakan fikiran serta berganding bahu untuk memerdekakan negara Malaysia dari dijajah dengan pemikiran yang masih ditakuk lama. #herdimmunity
Ch'ng Pei Huan, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41/GURU, SMK Raja Muda Musa, Kuala Kangsar; Ilmu Pendidikan (Pendidikan Khas), 2015
Harapan saya supaya Malaysia terus kental menghadapi ujian pandemik yang kian menguji kesabaran ini. Sifat virulen COVID-19 yang makin terus mencabar minda dan jiwa kita ini dapat kita atasi jika kita percaya pada kekuatan semangat Malaysia!
Shahrill Ramli @ Romli, Guru, Sekolah Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor; Sains Biologi (Mikrobiologi), 2007
PANTUN MERDEKA ALUMNI
- Tuan di pangkin asyik seloka,
- Garang wajah terasa jenuh,
- Tuan yakin sudah merdeka,
- Malang dijajah wabak membunuh.
- Hikayat didendang Melaka bergolak,
- Kitul khianati terbunuh bendahara,
- SOP kecundang vaksin pun ditolak,
- Rebahlah nanti gapura negara.
- Genderang bertalu perang tak tamat,
- Kalau menyerang helahnya rapi,
- Pendekar dahulu berkeris keramat,
- Kita sekarang berkeris SOP.
- Lashkar berhimpun semuanya rebah,
- Menang musuh menyusun taktik,
- Pencak kita pun, bunga berubah,
- SOP dipatuh jurus terbaik.
- Waadat diikat Raja disembah,
- Kekal daulat dalam istana,
- Berpanji muafakat tiangnya muhibah,
- Baru lah bersilat menangkis Corona.
NUKILAN: Abdullah Mahyudin, Wartawan RTM, RTM Pulau Pinang; Komunikasi, 2018 [Pemantun Terbaik Akhir Pesta Pantun Piala Seri Melaka (PISMA) Nusantara - Malaysia, Indonesia, Singapura]
Kompilasi & Suntingan: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1553