OPTIMUMKAN PLATFORM ALAM MAYA: MERIAHKAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA SECARA KREATIF
24 Ogos 2021
Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka, merdeka
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Demikian antara petikan lirik lagu Tanggal 31 Ogos nyanyian Dato’ Sudirman Hj Arshad yang kebiasaannya kerap dimainkan saat negara menghampiri tanggal keramat meraikan ulangtahun kemerdekaan negara.
Pun begitu, telah hampir dua tahun, kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan agak berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Jika dahulu kemeriahan menyaksikan perarakan di setiap negeri adalah antara acara yang ditunggu-tunggu, namun kini ia menjadi salah satu perayaan yang dibuat secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk melindungi rakyat dari pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa.
Namun begitu, kemeriahannya tetap ada. Ia tetap menjadi tarikh yang dinanti-nanti walaupun tiada perhimpunan berwarna-warni menghiasi jalanan.
Ikuti bual bicara khas Alumni Bulletin bersama ahli akademik USM merangkap pemegang gelaran Ikon Patriotisme Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut (2016, 2017) dan pemegang gelaran “Tokoh 1Malaysia Award (2009)”, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan) yang berkisar kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 negara dalam suasana normal baharu.
1. Bagaimanakah cara terbaik untuk kita menyemarakkan semangat kemerdekaan di saat negara bergelut dengan pandemik?
Kita berada dalam suasana sambutan kemerdekaan yang berbeza. Kita memerlukan tanggungjawab luar biasa, pemikiran luar biasa, metodologi luar biasa, tindakan luar biasa dengan harapan mencapai objektif luar biasa.
Penyatuan kesemua anggota masyarakat tatkala berada dalam keadaan luar biasa ini penting jika peranan masing-masing memberi maksud dan makna ke atas semangat kemerdekaan.
Hari ini, komuniti alam maya bergerak ke fasa baharu. Walaupun tidak bersemuka, keeratan mula dibina. Walaupun tidak bergabung, namun ia membawa kita berdampingan dan bergaul tanpa mengira batasan gender, umur, kaum, agama dan latar diri kita.
Tindakan kolektif untuk memenuhi masa dengan komuniti alam maya boleh membawa sifat ‘kepunyaan’ ke atas negara dengan pendekatan ‘kreatif’ untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan. Pengisian dan penghayatan kemerdekaan di alam maya wajar dilakukan sebagai alternatif untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.
2. Rakyat sentiasa dihimpit kebimbangan dengan situasi semasa dalam negara, baik disebabkan pandemik mahupun ketidakstabilan politik. Adakah dengan laungan semangat kemerdekaan dapat meredakan sedikit tekanan yang rakyat hadapi, atau setidaknya mengalih perhatian ke arah sesuatu perkara yang lebih positif?
Sewajarnya laungan semangat kemerdekaan dapat meredakan suhu politik yang mendidih sehingga membawa kepada keadaan tidak menentu dan ketidakstabilan yang berpanjangan.
Walaupun berbeza fahaman politik, ia tidak boleh menjejaskan usaha untuk meningkatkan penghayatan ke atas nilai kemerdekaan.
Memahami pengertian kemerdekaan boleh diperhebatkan di bulan Ogos atau bulan kemerdekaan supaya warga Malaysia sedar betapa sukarnya membina Malaysia tetapi mudah untuk merobohkannya jika kita tidak berhati-hati dengan tindakan kita.
Jujurkah kita pada Malaysia? Ini persoalan yang perlu dijawab oleh setiap individu yang menamakan dirinya warga Malaysia kerana kita masih melalui proses untuk membina jati diri yang ampuh dalam kalangan warga kita.
Dalam mendepani apa sahaja cabaran, kita perlu mengingatkan diri masing-masing bahawa kesedaran palsu ke atas negara akan memberikan kesan yang cukup besar kepada penduduk negara ini.
3. Apakah harga yang perlu dibayar jika kita mensia-siakan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini?
Malaysia merupakan sebuah negara yang rencam, pelbagai, majmuk dan anekaragam. Meraikan perbezaan dalam kepelbagaian adalah benteng kita kerana dalam apa keadaan sekalipun, perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan menjadi dinding kepada Malaysia meskipun perpaduan diuji dalam keadaan hari ini.
Tiga prinsip asas dalam hubungan antara etnik yang kemudiannya membawa kepada perpaduan adalah faham, hormat dan terima yang menjadi kunci perpaduan.
Nilai keinsanan dan keehsanan perlu diperteguhkan dengan pematuhan kepada asas hubungan dalam kalangan manusia iaitu bersedia untuk berkompromi dan berkorban dengan diindahi oleh keikhlasan untuk mengatasi virus pandemik ini.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ menjadi amalan dalam kehidupan kita. Keikhlasan perlu ada untuk memastikan kehidupan berukun dan keamanan terpelihara.
Misalnya, perpaduan COVID-19 memerlukan kejujuran bersama. Ia harus datang sendiri dengan perlakuan yang dipersetujui majoriti. Akhlak diri akan menjadi penanda aras untuk kita melangkah berdampingan untuk merealisasikan impian memelihara negara ini bersama.
Barangkali kita tidak bergaul, bercampur, berdampingan mahupun bergabung sebelum krisis COVID-19 tetapi hari ini kita boleh teguh selesa bermesra di dunia alam siber. Ini boleh dilanjutkan apabila ‘kebiasaan’ normal lama kembali dalam sedikit masa lagi.
4. Menyambut ulangtahun kemerdekaan di era pandemik? Apakah alternatif yang boleh dipraktikkan?
Ramai bertanggapan oleh sebab berada di era pandemik, kita tidak boleh meraikan kemerdekaan seperti sebelum ini kerana persoalan penjarakan sosial. Namun, banyak platform lain boleh digunakan.
Keluarga masih boleh mengibar Jalur Gemilang di kediaman masing-masing; sambutan di media sosial dan media konvensional masih boleh diteruskan terutama siaran penceritaan kemerdekaan. Begitu juga secara kreatif, media sosial boleh digunakan untuk jalinan program dan aktiviti kemerdekaan.
Malahan, pertandingan bertemakan kemerdekaan masih boleh dilakukan di alam maya. Saya percaya walau program fizikal dilarang, alam maya boleh menjadi telapak untuk membangkitkan semangat jiwa Malaysia di bulan kemerdekaan ini.
5. Apakah cara terbaik untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda mengenai erti sebuah kemerdekaan?
Generasi merdeka dan generasi pasca-merdeka mempunyai pandangan berbeza mengenai kemerdekaan.
Bagi generasi merdeka, mereka melihat sendiri keperitan kehidupan di bawah zaman penjajahan manakala bagi generasi pasca-merdeka, mereka merasakan adalah tanggungjawab pihak berwajib untuk mengurus negara dengan pengisian yang rasional dan praktikal, bukannya emosional.
Walaupun begitu, pelbagai agen memain fungsi mereka untuk terus mendekati kemerdekaan. Ia bermula dari rumah bagaimana nilai kemerdekaan bukan sekadar satu slogan tetapi menjadi amalan darah daging kita. Begitu juga peranan sekolah, pentadbir dan guru-guru serta rakan sebaya; peranan media; agensi kerajaan, pemimpin dan diri sendiri perlu mengambil inisiatif untuk memahami dan mahu memahami erti sebuah kemerdekaan.
Kepelbagaian pendekatan perlu disesuaikan dengan perubahan demografi dan geografi tanahair. Konsep ‘Bela Negara’ perlu juga dibawa bersama nilai patriotisme dan nasionalisme warga Malaysia.
Walaupun identiti diri kini bermula menjadi ‘hybrid identity’ atau ‘shifting identity’, itu tidak bermakna kita boleh abaikan jati diri menjadi warga Malaysia.
Perlembagaan dan Rukun Negara adalah dokumen keramat yang secara berterusan digunakan untuk mendidik, menyemai, memupuk dan mengajar erti sebuah kemerdekaan.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 768