KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG
GEORGE TOWN, 27 Ogos 2021 – Pihak pengurusan tinggi Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, semalam.
Kunjungan hormat ini merupakan pertemuan julung kali diadakan sejak Ahmad Fuzi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan pada 1 Mei 2021.
Delegasi USM diketuai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato' Dr. Awang Adek Hussin bersama Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Narimah Samat; dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
Dalam pertemuan selama hampir satu setengah jam tersebut, Awang Adek memberi taklimat kepada TYT Tun berkenaan perkembangan semasa USM secara umum termasuk sumbangan USM kampus induk dan USM@Bertam sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) statik dan pandu lalu kepada komuniti Pulau Pinang, di samping bertukar pendapat mengenai isu-isu semasa yang menyentuh mengenai pembangunan Negeri Pulau Pinang.
Turut dibincangkan ialah bagaimana USM dapat berkongsi sumber dan kepakarannya untuk bersama-sama membangunkan Negeri Pulau Pinang serta senario pendidikan tinggi negara khususnya yang berkait dengan peranan USM dalam suasana normal baharu akibat pandemik COVID-19 ini.
Awang Adek merakamkan ucapan syukur dan penghargaan kepada TYT Tun kerana sudi menerima kunjungan hormat ini dan di atas sambutan yang diberikan kepada pihak delegasi USM, serta mengharapkan USM dapat terus menjalin kerjasama yang erat dengan pihak kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan dari Pejabat Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
- Created on .
- Hits: 909