USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKAN USM TERUS BERKEMBANG MELALUI INISIATIF PSR

USM PULAU PINANG, 25 Ogos 2021 – Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda pemerkasaan promosi dan perkongsian berkaitan sukan tatkala wabak pandemik COVID-19 masih lagi mengganas melalui program-program secara dalam talian yang berimpak.

WhatsApp_Image_2021-08-25_at_16.57.49.jpeg

Kelmarin, Webinar bertajuk “Teladani Lagenda Negara: Erti Pengorbanan Atlet Sejati” telah berlangsung secara dalam talian dan mendapat respon yang positif daripada semua penonton yang hadir secara maya.

Menurut Pengarah PSR, Hj. Idrus Hj. Rapie, program-program yang direncanakan PSR ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan atlet terutamanya dan kepada masyarakat secara amnya, dalam usaha menyemarakkan semangat kenegaraan sempena bulan kemerdekaan yang akan disambut pada tahun ini secara normal baharu.

“PSR akan terus mempromosikan budaya kesukanan walaupun keadaan sekarang agak sukar untuk pertemuan secara fizikal, jadi pendekatan secara dalam talian sebegini dapat mempertemukan semua peminat sukan untuk terus menimba ilmu dan perkongsian berkaitan sukan di era kini,” katanya.

Webinar ini menampilkan lagenda sukan negara antaranya, atlet memanah negara, Dr. Mon Redee Sut Tzi yang merupakan pensyarah kanan UPSI; atlet olahraga negara, Nazmizan Muhammad yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pengajian Tinggi; dan bekas atlet berbasikal dan jurulatih berbasikal remaja kebangsaan, Eddie Norshamshidi Abdul Rashid yang merupakan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kanan USM.

Sesi ini telah menceritakan bagaimana atlet-atlet ini melalui onak dan duri dalam bidang sukan masing-masing, serta pengorbanan yang telah dilalui oleh setiap antara mereka sepanjang tempoh ke arah mengecapi kejayaan.

Pergorbanan yang tiada galang ganti ini patut dijadikan sebagai motivasi dan dorongan untuk belia kini bahawa setiap kejayaan manis itu tidak hadir dengan mudah tanpa adanya pengorbanan,” ulas lanjut Idrus.

Sementara itu, hari sebelumya juga telah menyaksikan satu program yang turut melibatkan perkongsian berkaitan sukan oleh alumni sukan daripada USM iaitu bekas atlet sepaktakraw USM, Dr. Che Mohd Aziz Yaacob dan bekas atlet dan caretaker USM Jokers (Ragbi), Mohd Ariff Redza @ Kilau dalam program Sembang Santai Sukan USM.

Menurut ahli panel, sukan telah menjadi platform untuk semua warga USM bersatu dan tidak mengira status sama ada mereka pelajar, pensyarah mahupun staf pentadbiran. Semangat yang telah bergabung sebagai sebuah pasukan juga telah menjadikan mereka insan yang mempunyai added value (nilai tambah) untuk bersaing di masa kini.

Walaupun USM bukanlah institusi berasaskan sukan, ia telah berjaya mewujudkan warganya yang hebat dalam sukan yang diceburi kerana semangat dan roh yang telah ‘meresap’ ke dalam diri warganya adalah unik mengikut acuan USM.

Panel turut menjelaskan bahawa mereka rindu akan USM dan sedia untuk datang menabur bakti kepada menara ilmu yang tercinta ini jika diberikan peluang.

Program yang dilangsungkan secara FB Live setiap Ahad ini telah sedikit sebanyak memberi sinar dan momentum kepada pembangunan dan kemajuan sukan USM untuk terus berkembang dan berperanan sebagai agen penyatuan bukan sahaja alumni, tetapi buat semua warga USM dalam membudayakan sukan sebagai satu alat untuk berhubung walaupun secara dalam talian.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 946

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024