USM TERUS JADI DESTINASI PILIHAN PELAJAR ANTARABANGSA
USM PULAU PINANG, 22 Ogos 2021 -- Di sebalik pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini, Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dengan mempelbagaikan usaha promosi bagi memastikan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa berada pada tahap terbaik.
Hasilnya, USM berjaya mencatatkan prestasi terbaik dengan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa yang meningkat melebihi dua kali ganda bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ijazah tinggi bermula Januari hingga 3 Ogos 2021 adalah sebanyak 1,086 pelajar, dan jumlah itu jelas sekali menunjukkan peningkatan berbanding 338 pelajar bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Pelbagai kaedah digunakan USM bagi memastikan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa, antaranya mempelbagaikan aktiviti promosi secara berkala dan mempermudahkan proses pendaftaran diri pelajar secara dalam talian.
“Selain itu, USM juga meningkatkan kecekapan dalam kaedah pemprosesan permohonan dan mengoptimumkan pelbagai saluran komunikasi digital serta interaksi bersama bakal pelajar seperti e-mel, Facebook, Facebook Messenger, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), Wechat, Whatsapp dan Zoom,” katanya.
“Semua ini telah dapat dilakukan dengan usaha berterusan para ahli akademik serta pusat-pusat pengajian terbabit di USM dalam memastikan pembelajaran dapat terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana pandemik yang agak mencabar.
“Terima kasih juga diucapkan kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam memastikan kelancaran aktiviti mempromosi pelbagai program akademik yang ditawarkan oleh USM seperti Institut Pengajian Siswazah (IPS); Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC); Pejabat Pembangunan Korporat Strategik; Bahagian Akademik dan Antarabangsa; Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni; Bahagian Penyelidikan dan Inovasi; serta Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM,” katanya.
Tambahnya, tidak ketinggalan juga pelbagai agensi luar yang terlibat dalam membantu serta memberi sokongan ke arah kejayaan usaha ini, di antaranya Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat pula, sejak bermulanya pandemik COVID-19 di negara kita pada awal Mac 2020 yang lalu, pihak Universiti telah melaksanakan kaedah pembelajaran teradun (blended learning), yang menggabungkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian dan juga bersemuka mengikut keperluan dan kesesuaiannya, kepada pelajar antarabangsa. Manakala penyeliaan pelajar penyelidikan dijalankan secara dalam talian.
“Usaha mempromosi kemasukan pelajar antarabangsa ijazah tinggi bagi kursus dan program berasaskan penyelidikan turut dipergiatkan secara maya, khususnya bidang Seni, Kemanusiaan, Pengurusan dan bidang lain yang tidak terkesan banyak dengan ‘lockdown’ dalam penggunaan makmal ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pihak Universiti juga memanfaatkan tempoh ‘lockdown’ makmal Sains dan Kejuruteraan dengan menjalankan kerja-kerja penaikan taraf dari segi ruang dan peralatan yang sedia ada di beberapa PTJ yang dikenal pasti, supaya dapat memberi suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif dan terbaik untuk menarik pelajar-pelajar antarabangsa menyambung pengajian di sini,” tambahnya.
Narimah turut berkata, bagi program ijazah tinggi, USM menerima kemasukan pelajar antarabangsa tertinggi di antaranya dari China, Jordan, Iraq, Nigeria dan Pakistan.
“Bidang yang menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa di USM adalah Pengurusan, Pendidikan, Sains Komputer, Bahasa Inggeris untuk Profesional, dan Seni.
“Segala usaha ini mencerminkan kesungguhan USM dalam menawarkan program akademik terbaik dan berkualiti, selain menitikberatkan aspek kos agar penawaran tersebut mampu memberi keseimbangan bagi kesemua pihak,” kata Narimah, yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang banyak menyumbang idea dan tindakan pelaksanaan semasa beliau menerajui Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM semasa COVID-19 mula melanda.
Sementara itu, menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik USM, Tn Hj Sabri Said, pihak Universiti akan terus memastikan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ini berada pada tahap terbaik dengan memperbanyakkan kolaborasi antarabangsa dengan rakan strategik serta menawarkan program akademik USM di luar negara.
Selain itu, USM akan terus mempergiatkan promosi secara berkala dengan mengoptimumkan pelbagai saluran komunikasi digital bersama bakal pelajar, dan meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan permohonan kemasukan pelajar,” jelas Tn Hj Sabri, sebagai langkah-langkah proaktif yang sedang diambil USM supaya USM kekal kompetitif dan menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan ijazah tinggi.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop, Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1146