IRON LADY USM: SEMANGAT KERJA BERPASUKAN JAYAKAN PENGURUSAN PANDEMIK COVID-19 USM
USM PULAU PINANG, 22 Ogos 2021 -- Cabaran bidang tugas personaliti yang diketengahkan pada edisi kali ini bukan calang-calang hebatnya.
Beliau sering dijadikan tempat rujukan jika berlakunya kes-kes berkait dengan bidang tugas perubatan dan kesihatan, secara tidak langsung menjaga kesejahteraan seluruh warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM).
Ditambah pula dengan pandemik COVID-19 yang kian menggusarkan setiap daripada rakyat Malaysia pada ketika ini, sosok tubuh kecil molek ini makin dihimpit kesibukan.
Beliau cocok digelar The Iron Lady. Pun begitu, ketika gelaran itu diletakkan padanya, beliau lantas terus merendah diri.
Hanya yang keluar dari kata-katanya: “Usaha ini bukan daripada saya semata-mata. Saya berbangga dan amat bersyukur dapat menjalankan tugas dalam suasana yang cukup kondusif. Kerjasama yang erat di antara semua pihak yang banyak menjayakan kerja-kerja harian saya dan juga para frontliners kesihatan di USM ini.”
Begitu humble beliau melontar kata-katanya. Beliau yang dimaksudkan ialah Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid yang sudah pasti dalam rutin hariannya sebagai ketua jabatan yang mengawal selia hampir 90 staf, doktor perubatan, isteri, ibu, anak dan sebagainya, pelbagai cabaran hadir yang menuntut beliau untuk bertindak sewajarnya.
Pun begitu, apa yang mengagumkan, anak jati Pulau Pinang ini dilihat tidak pernah tunduk pada tekanan. Malah, kelibatnya sentiasa ada khususnya di saat-saat getir Universiti perlu menguruskan pandemik ini dengan sebaiknya.
Beliau yang berpengalaman hampir 21 tahun bertugas di Pusat Sejahtera USM berkata, perkara yang paling disyukurinya adalah dikurniakan staf yang berdedikasi dan sentiasa bersedia menjalankan tugas pada bila-bila masa yang diperlukan.
Malah katanya, pandemik ini membuka matanya betapa kerjasama dan bekerja secara berpasukan adalah faktor terpenting dalam memastikan objektif atau matlamat organisasi dapat dijayakan dengan sebaiknya.
“Tanpa teamwork dan apabila semua orang mahu bekerja mengikut caranya sendiri, ia akan menyukarkan kerja kita untuk menyelesaikan sesuatu isu. Saya teruja mengatakan kerjasama di antara semua pihak di USM, baik daripada pengurusan tertinggi, staf bukan kesihatan/perubatan sehinggalah kepada komitmen pasukan kerja di bawah seliaan saya di Pusat Sejahtera, ia adalah melangkaui perkataan hebat.
“Walaupun adakalanya tanggungjawab berat yang Universiti terpaksa hadapi sepanjang menguruskan pandemik memberikan cabarannya tersendiri, namun kita berjaya mencari jalan penyelesaian kerana semua orang tahu tugas masing-masing dan saling hormat-menghormati terhadap peranan semua pihak,” katanya.
“Saya juga tidak pernah menghadapi masalah untuk meminta sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam USM.
“Sehingga kini semangat bekerja secara berpasukan seperti yang dipraktikkan di USM adalah yang terbaik bagi saya.
“Hal ini kerana setiap daripada kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat utama Universiti, iaitu memberikan hanya yang terbaik buat semua,” ujar beliau.
DI SEBALIK PANDEMIK COVID-19
“Seperti kebanyakan dari kita semua, saya juga turut terkesan dengan perkembangan pandemik ini sejak di hari pertama saya mengetahuinya melalui media-media massa.
“Masih saya ingat pada ketika COVID-19 ini sedang merebak dengan cepat di China, kita juga dalam masa yang sama akan menerima pelajar-pelajar dari beberapa wilayah di negara itu. Ia mula mendatangkan kerisauan jauh di lubuk hati saya.
“Sepertinya naluri saya mengatakan kita perlu melakukan sesuatu. Kita perlu mengambil pendekatan mencegah virus berbahaya itu dari menular di negara ini khasnya di Menara Ilmu ini.
“Malah pada ketika itu kerana ia masih di peringkat terlalu awal, tiada sebarang sekatan yang dikenakan kepada mana-mana pihak yang masuk ke Malaysia.
“Pun begitu, saya meminta supaya pihak Universiti mengadakan satu mesyuarat bagi melihat perkara ini dengan lebih teliti dan menyeluruh supaya wujud satu koordinasi yang membolehkan proses kemasukan pelajar-pelajar ini dilakukan dengan sewajarnya,” ujar Dr. Normala.
Namun, tidak pula disangka perebakan wabak itu mula dikesan di negara ini. Dari satu kes ke satu kes sehinggalah wujudnya satu kluster yang agak besar jumlahnya.
“Saya juga tidak pernah terfikir bahawa virus ini boleh menular sehingga ke tahap ini di negara kita (kes baharu tertinggi dicatatkan melebihi 22,000 kes ketika menghasilkan penulisan ini).
“Namun saya turut bersyukur kerana di USM, walaupun ada kes-kes terpencil berlaku, kita berjaya mengawalnya dengan baik hasil daripada usaha kolektif semua pihak.
“Sejak dari awal pandemik lagi kita telah menyusun strategi yang sepatutnya termasuk menyediakanblok-blok pengawasan, pengasingan dan sebagainya.
Kita telah menjangkakan wabak ini dan risikonya sebelum keluarnya sebarang arahan untuk kuarantin kepada mereka yang baru tiba dari luar negara dan sebagainya,” ujar beliau lanjut.
TANGGUNGJAWAB DIGALAS DENGAN BAIK RENTETAN PENGALAMAN
Ketika ditanya mengenai kemampuannya menyerap segala tekanan, di saat semua pihak kebanyakannya tertumpu kepada beliau bagi mendapatkan respon segera bagi isu-isu yang berkait dengan bidang tugas kesihatan, Dr. Normala mengakui beliau bersyukur kerana pengalaman kerjaya sejak mula menyertai barisan petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat membantunya.
“Saya sebenarnya mula berkhidmat bersama KKM sebaik menamatkan MBBS dari Universiti Malaya. Semasa saya memulakan housemanship, saya amat teruja kerana berpeluang bekerja bersama-sama dengan pakar-pakar hebat dan konsultan dalam bidang perubatan. Kemudiannya saya telah dilantik menjadi Ketua di Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya dan mengurus serta menyelia pusat-pusat kesihatan di Bayan Lepas, Air Putih dan juga Teluk Bahang.
“Banyak yang saya lalui dalam fasa ini dan saya berpengalaman menguruskan pelbagai perkara di bawah penyakit berjangkit (communicable diseases) termasuk denggi, bawaan air dan makanan, kesihatan ibu dan kanak-kanak, pesakit luar, perubatan kesihatan konvensional dan sebagainya.
“Justeru ia sedikit sebanyak menambahkan pengalaman saya menguruskan pelbagai jenis penyakit berkaitan komuniti,” ujarnya yang turut memiliki ijazah sarjana dalam bidang Perubatan Komuniti (Master Of Community Medicine).
Tambah beliau, ada satu ketika Pulau Pinang digemparkan dengan kes typhoid dan ia berlaku di Gertak Sanggul, satu kawasan di daerah Barat Daya. Justeru, beliau terlibat secara langsung dalam pengurusan wabak berkenaan.
“Kami menjalankan pelbagai proses yang berkaitan termasuk mengenal pasti dari mana punca ia berlaku, melakukan penjejakan kontak (contact tracing) dan sebagainya. Kami bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab pada ketika itu dan tahu apa yang sepatutnya dilakukan, menangani masalah itu dan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan.”
Malah ujarnya, ketika di awal perkhidmatannya bersama USM, beliau turut berpengalaman membantu secara langsung menguruskan wabak SARS, iaitu dalam tahun 2004.
“Ketika itu juga Universiti terpaksa menguruskan kemasukan pelajar-pelajarnya yang berisiko. Alhamdulillah kita dapat menguruskannya dengan baik termasuk menyediakan desasiswa sebagai blok isolasi,” katanya.
Katanya lagi: “Apa yang saya boleh simpulkan, pengalaman dan kerjasama erat di antara semua pihak memungkinkan tanggungjawab yang dirasakan berat menjadi lebih mudah.”
Tambahan pula, saya pernah bersama KKM dan sehingga kini hubungan baik dengan pihak berkenaan masih terjalin dan saya tidak berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama dari mereka,” ujar Dr. Normala yang memulakan kariernya bersama USM pada tahun 2000.
CABARAN BERGELAR FRONTLINERS, PEMIMPIN ORGANISASI DAN SURI HATI KELUARGA
Cabaran dalam menggalas pelbagai peranan dalam kehidupan seharian adalah sesuatu yang sering diperkatakan dan bukan semua individu berupaya memainkan peranan dengan sebaiknya.
Dr. Normala juga tidak terlepas dari cabaran bergelar isteri, ibu, anak dan juga pemimpin dalam satu organisasi yang besar, ditambah pula ketika negara bergelut dengan virus COVID-19 yang belum berkesudahan.
Pun begitu, Iron lady USM ini disifatkan tidak pernah mengalah dan beliau sentiasa ada di saat suka dan duka USM.
Menurut beliau, rasa kecintaan (passion) terhadap bidang tugas membuatkannya terus teguh berbakti.
“Saya tidak dapat bekerja dalam suasana yang tiada cabaran. Itu membosankan. Saya merasakan dalam kehidupan ini kita perlu ada cabaran. Corak kerja sebegini memberi kepuasan kepada saya,” katanya yang tidak pernah mengeluh dalam menggalas tanggungjawab, walaupun adakalanya perlu keluar di malam hari untuk menunaikan amanahnya.
Mengulas rahsianya membahagikan masa di antara karier dan keluarga, Dr. Normala sekali lagi menegaskan beliau bertuah kerana memiliki sistem sokongan (keluarga dan staf) yang memahami dan banyak membantu mempermudahkan urusan hariannya.
Suami beliau yang juga pernah menyarung uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memberi sokongan dan faham dengan cabaran tugas bergelar frontliners kerana kedua-dua mereka berada dalam kategori yang sama.
“Saya juga bersyukur kerana masih diberikan kesempatan merasai kasih seorang ibu. Ibu saya tinggal bersama-sama dan sehingga kini di usianya yang mencecah 79 tahun, Allah SWT masih memberi kekuatan kepadanya utuk terus membantu saya.
Ibu banyak menyumbang dalam melengkapi hidup kami sekeluarga kerana pada ketika saya dan suami sibuk dengan urusan membantu masyarakat, beliau sentiasa ada memberi dorongan dan membantu di mana yang perlu,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini yang turut mengakui mereka sekeluarga memang telah lama menganggap ibunya sebagai ketua keluarga yang selalu membimbing dalam kehidupan mereka.
Paling melucukan, Dr. Normala mengakui dalam nada ketawa, ketiga-tiga anaknya tidak bercita-cita menjadi doktor dan polis, mungkin kerana ‘takut’ melihat kesibukan kedua-dua ibu bapa mereka.
PANDEMIK COVID-19: PERKONGSIAN SEBUAH PENGALAMAN
Editorial turut berkesempatan menemu bual figura hebat ini berkenaan pengalamannya berdepan pandemik COVID-19. Ikuti temubual eksklusif seperti di bawah:
Apakah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menguruskan pandemik di USM?
Salah satu aspek penting dalam pengurusan kesihatan ialah kerahsiaan maklumat pesakit. Justeru, pada awal terdapatnya kes positif melibatkan pelajar USM, nama dan maklumat berkenaan pesakit telah dibocorkan secara tidak sengaja sehingga menjadi viral.
Saya amat kesal dan sedih kerana ianya berlaku. Ia adalah satu isu berkaitan etika perubatan dan segala maklumat sepatutnya sulit dan dirahsiakan. Saya sama sekali tidak menjangkakan ia berlaku dan tular begitu cepat. Pun begitu, ia mengajar saya dan pasukan saya untuk lebih berhati-hati khasnya melibatkan maklumat sulit. Saya juga sentiasa berwaspada dengan media sosial yang kita tahu bagaimana pantasnya maklumat disebarkan dan mempengaruhi masyarakat.
Saya tidak dapat melupakan perkara itu kerana ia amat mendukacitakan. Stigma masyarakat pada ketika itu menjadikan keadaan lebih buruk dan ia meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja buat pesakit dan keluarganya, malah diri saya sendiri. Ia bukan sesuatu yang baik untuk saya kenang sepanjang karier saya.
Apakah sisi positif yang diperoleh daripada pandemik ini?
Kerjasama. Saya tidak akan mampu menggalas tanggungjawab ini jika tiada kerjasama mantap dan pasukan USM yang hebat. Semangat kerja berpasukan antara petugas kesihatan dan bukan kesihatan dalam kampus amat saya banggakan.
Selain itu kita mempunyai maklumat yang komprehensif kerana sering bekerjasama dengan pelbagai pihak luar seperti KKM, JKN, dan juga Majlis Kesihatan Universiti Awam (MAKESUM) dan ia membantu proses brainstorming, perkongsian idea dan proses-proses yang perlu kita laksanakan untuk menguruskan pandemik.
Proses ini sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan. Namun kita sentiasa bersedia dan menjangkakan apa yang bakal berlaku dan membangunkan SOP yang sewajarnya melalui Nerve Centre dan semua pihak yang terlibat.
Paling mengujakan, kita sentiasa mengambil jalan penyelesaian secara kolektif hasil perbincangan dan persetujuan bersama. Begitulah caranya kita menguruskan pandemik ini di dalam kampus dan saya teruja kerana kita jarang menghadapi masalah untuk membuat keputusan kerana semua pihak memberi input dengan cemerlang.
Apakah jangkaan seterusnya?
Pandemik ini banyak mengubah cara kita bekerja. Normal baharu mengambil tempat dalam urusan harian kita. Kita perlu melihat di luar normal dalam menjalankan rutin Universiti termasuk hal berkaitan kemasukan pelajar, konvokesyen, menguruskan pelajar-pelajar kita jika berlakunya kes-kes positif dan KKM tidak lagi mampu menampung jumlah kes yang semakin tinggi saban hari.
Perkara-perkara sebegini perlu diambil perhatian selagi pandemik ini belum selesai.
USM kini turut menjadi salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin. Bagaimana caranya untuk mendidik atau meyakinkan masyarakat untuk mengambil vaksin?
Saya berpendapat, ada sekumpulan masyarakat yang bukan tidak mahu mengambil vaksin, namun lebih kepada ‘nanti dahulu’ atau ‘lihat pengalaman orang lain dahulu’.
Kita perlu memberi pendedahan yang sewajarnya dan yakinkan bahawa mengambil vaksin adalah tanggungjawab bersama dalam membantu merealisasikan ‘herd immunity’ (imuniti berkelompok).
Namun bagi golongan anti-vaksin, usaha untuk meyakinkan mereka agak sukar kerana pengaruh daripada pelbagai maklumat yang mereka baca dan ikuti di media sosial lebih kuat. Namun apa yang penting bagi saya, jika kita tidak mahu mengambil vaksin, itu adalah pilihan sendiri dan jangan bertindak untuk mempengaruhi pihak lain untuk melakukan tindakan serupa.
Saya harap lebih ramai sedar tentang kebaikan vaksin dan betapa kritikalnya kita untuk membantu negara keluar dari pandemik ini. Banyak kehilangan dan kesengsaraan yang kita terpaksa hadapi kesan daripada pandemik ini. Justeru adalah amat penting untuk kita memikirkan mengenai kesusahan orang lain dan tidak mempengaruhi orang lain untuk menjadi tidak mengambil vaksin.
Ini adalah saat yang paling getir untuk kita melindungi diri dan keluarga dengan memastikan kita melakukan perkara yang betul.
Sebagai contoh, mengambil vaksin, jika sakit dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan; jika berdepan isu kesihatan mental, jangan malu mendapatkan pertolongan. Banyak talian yang disediakan untuk membantu kita menghadapi tekanan dan stress.
Kita juga jangan mudah percaya kepada berita palsu. Dapatkan fakta yang benar dan tepat khususnya yang berkait dengan kesihatan.
Akhir sekali, ingin saya tegaskan khusus untuk warga USM, jika anda memerlukan sokongan dan bantuan, silalah ke Pusat Sejahtera kerana kami sedia membantu anda.
Kita perlu mengekalkan semangat bekerjasama dan amalan kerja sebagai satu pasukan untuk memastikan kita dapat mencapai matlamat utama Universiti.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1333