USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR BANGGA PENCAPAIAN PP SAINS KAJIHAYAT

usmpail1

PULAU PINANG, 12 Jun - Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman menzahirkan kebanggaan dan berterima kasih atas pencapaian Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) di sebalik pelbagai kekangan infrastruktur dan kewangan yang ada.

"Saya berterima kasih kepada semua staf yang produktif, dan memahami kekangan universiti dari segi kemampuan kewangan  dalam meningkatkan prasarana, malah berbangga kerana di sebalik itu, pusat pengajian mencapai pelbagai kejayaan dengan muncul antara yang teratas dalam senarai pusat tanggungjawab  yang mencapai kecemerlangan di Universiti," kata Omar.

Tambahnya lagi, universiti sebenarnya sentiasa berusaha meningkatkan  prasarana  yang ada, walau pun tidak dapat memenuhi sepenuhnya apa yang dicadangkan oleh  pusat tangungjawab disebabkan oleh keterbatasan sumber yang ada untuk semua pusat tanggungjawab.

Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada warga pusat pengajian yang telah lama berkhidmat, termasuk dalam kalangan tenaga akademiknya malah ada yang sanggup pula memberikan sumbangan  dengan menderma untuk  mewujudkan  hadiah pingat emas bagi pelajar terbaik dalam satu bidang.

usmpai 2

"Profesor ini bukan sahaja produktif dalam penyelidikan tetapi memberi kembali sumbangan kepada anak bangsanya  seperti mana ramai  perwira sebegini yang tidak dinobatkan dan diberikan pengiktirafan namun kita berdoa agar Allah S.W.T. sentiasa merahmati mereka," kata Omar.

Beliau menyeru seluruh warga kampus mencontohi mereka ini dan terus memberikan sumbangan kepada pembangunan universiti dan pelajar walau pun setelah bersara.Terdahulu, Naib Canselor diberikan taklimat oleh Dekan PPSK, Profesor Madya Ahmad Sofiman Othman.

usmpai 3

Beliau kemudiannya turut mengadakan lawatan dan meninjau dari dekat makmal-makmal yang terdapat di sini yang sesetengah peralatannya telah dimakan usia. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024