USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM AGIH SUMBANGAN KEPADA STAF TERKESAN DI BALIK PULAU DAN YAN

USM PULAU PINANG, 21 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Perhubungan dan Kebajikan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar bersama USM Bikers mengambil inisiatif menyantuni staf USM yang terkesan akibat banjir di Balik Pulau, Teluk Kumbar dan Yan, Kedah.

Menurut Pegawai Operasi Nerve Centre, Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaafar, sumbangan yang berbentuk keperluan asas harian serta borang Bantuan Bencana Banjir telah selamat diserahkan kepada kesemua staf terkesan akibat banjir tersebut.

WhatsApp_Image_2021-08-21_at_14.32.20_3.jpeg

“Seramai tujuh orang terlibat dalam penghantaran bantuan ini termasuk pemandu yang membawa barangan bantuan iaitu keperluan dapur harian serta borang permohonan bantuan bencana banjir,” jelasnya yang juga merupakan salah seorang ahli USM Bikers.

Bagi staf yang terkesan, bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka akibat banjir yang berlaku ini, yang telah merencatkan pergerakan mereka untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Sementara itu, bagi Pengerusi USM Bikers, Zulkifli Che Hussin, misi ini telah diilhamkan bersama semua individu terlibat bagi membantu rakan sekerja dan staf yang terkesan dengan bencana yang dihadapi,selaras dengan semangat USM yang sentiasa menjaga kebajikan warganya apabila musibah melanda.

WhatsApp_Image_2021-08-21_at_14.32.20.jpeg

“Semoga dengan sumbangan ini, ianya dapat membantu meringankan beban staf yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda dan semoga mereka terus bersemangat menghadapi ujian yang berlaku,” tambahnya.

Bantuan sama turut disampaikan kepada staf USM yang terkesan di Yan melalui kumpulan wakil Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) yang kesana hari ini untuk memberi bantuan kesukarelawanan.

Sesetengah kawasan di Balik Pulau telah mengalami banjir kilat pada Rabu lepas akibat hujan lebat yang berlaku dalam masa terlalu singkat yang menyaksikan keadaan sama yang lebih buruk berlaku iaitu banjir dan fenomena kepala air di daerah Yan, Kedah.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 725

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024