USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKARELAWAN USM KE YAN BANTU MASYARAKAT

YAN, KEDAH, 21 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menggerakkan pasukan sukarelawannya untuk membantu meringankan beban penduduk Yan, Kedah yang terjejas akibat tragedi hujan ekstrem yang menyebabkan banjir kilat dan fenomena kepala air yang berlaku awal minggu ini, yang berpunca di Gunung Jerai.

Demikian ujar pegawai terlibat yang mengetuai pasukan sukarelawan USM ini, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Mohamad Kasyfi Mohamad Taufik ketika mengikuti misi bersama 19 orang pelajar dan 7 staf yang telah lengkap menerima 2 dos vaksin.

WhatsApp_Image_2021-08-21_at_13.09.35.jpg

“Tumpuan hari ini diberikan kepada kerja-kerja pembersihan sekolah dan kawasan sekitar Yan yang telah terjejas akibat tragedi yang berlaku tempoh hari,” jelasnya.

Tambahnya, khidmat USM yang dihulurkan kepada masyarakat terjejas ini adalah usaha murni yang juga merupakan salah satu teras kekuatan USM iaitu membantu secara ‘kesukarelawanan’.

WhatsApp_Image_2021-08-21_at_14.40.27_1.jpeg

Bagi pelajar yang terlibat pula, ini merupakan salah satu sumbangan yang dapat diberikan oleh mereka kepada masyarakat yang terjejas dan sebagai rakyat Malaysia, bantuan sebegini adalah sesuatu yang ditagih tatkala negara masih berjuang memerangi pandemik COVID-19.

Sementara itu, pihak USM melalui Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat tragedi ini dan mendoa supaya segala urusan masyarakat setempat yang terjejas dapat dilancarkan dan dipulihkan dengan segera.

Misi sukarelawan ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) serta Universiti Awam Zon Utara.

WhatsApp_Image_2021-08-21_at_14.40.27.jpeg

Tragedi ini berpunca daripada kejadian hujan yang ekstrem pada petang Rabu dan menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai sehingga berlakunya banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 523

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024