USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PADU LANCAR DANA KILAT BELI ALATAN PERUBATAN, BANTUAN PERNAFASAN COVID-19

PULAU PINANG, 19 Ogos 2021 -- Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) atau PADU baru-baru ini mengambil inisiatif melancarkan Dana Kilat Pembelian Alatan Perubatan dan Bantuan Pernafasan COVID-19 bagi membantu hospital-hospital di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Kelang dalam menangani pesakit kritikal COVID-19.

padu.jpg

Presidennya, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, sejumlah RM268,000 diperlukan segera untuk pembelian peralatan seperti ‘high flow nasal system’, ‘patient monitor’, ‘portable ultrasound’, ‘HEPA Machine’ dan ‘Air Sterilizer’. 

Menurutnya, peralatan tersebut dikenal pasti sebagai keperluan utama buat masa ini khususnya untuk rawatan kecemasan pesakit-pesakit kritikalCOVID-19 yang dimasukkan ke hospital

Jafri Malin turut berkata, pada Mac tahun lalu, PADU telah melancarkan projek pembelian alat sokongan dan bantuan pernafasan, dan berjaya mengumpul dana melebihi RM100,000. 

“Dana yang terkumpul itu digunakan untuk membeli beberapa set peralatan penting yang diperlukan termasuk set helmet Continuous Positive Airway Pressure Therapy (CPAP) dan Bilevel Positive Airway Pressure (BiPAP), yang diagihkan kepada beberapa hospital di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan.

“Selain itu, PADU turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh negara melalui wakil di setiap hospital berkenaan,” tambah Jafri Malin, yang juga ahli Lembaga Gabenor USM dan pakar Neurosains di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.

Beliau mewakili pihak PADU turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu pesakit yang memerlukan alat sokongan pernafasan.

“Kami dari PADU berharap lebih ramai lagi yang akan tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan hasrat petugas barisan hadapan dalam memberi rawatan terbaik kepada pesakit yang semakin meningkat dari sehari ke sehari,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan KILAT COVID-19.

Penyumbang juga boleh menghubungi urusetia PADUdi talian 013-9156345 untuk mendapatkan resit sumbangan bagi tujuan pengecualian cukai.

Teks asal: Persatuan Alumni Doktor USM (PADU)

  • Created on .
  • Hits: 433

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024