USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PETUGAS KESIHATAN RAYU KERJASAMA SEMUA KEKANG PENULARAN COVID-19 DALAM FASILITI PERAWATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Ogos 2021 -- Masuk tahun kedua kita dihantui pandemik COVID-19, namun masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memandang enteng malahan mengambil sikap sambil lewa dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak ini.

Tidak dinafikan ada sebilangan besar yang masih berpegang teguh kepada pematuhan SOP malahan bersama-sama menggerakkan usaha pemantauan serta penguatkuasaan.

Akan tetapi, terdapat segelintir masyarakat yang mula bosan dan berdegil untuk tidak mengamalkan pemakaian pelitup muka khususnya ketika berada di tempat awam. 

Malahan masih ada yang mengadakan majlis-majlis keraian dan berkumpul dengan ahli keluarga termasuk yang berada di zon kluster-kluster aktif.

Sedarkah kita, tindakan sebegitu bakal mengundang jangkitan COVID-19 apatah lagi dengan pelbagai varian yang dikesan, cara jangkitan yang semakin agresif menjadi nilai tambah kepada peningkatan kes.

Lebih merisaukan, kebanyakan yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala dan menjadi penyebar virus secara senyap.

Ketua Penyelia Jururawat, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Raudzah Haji Mohamed Ariffin berkongsi pengalaman sepanjang pemerhatian beliau semasa melakukan tugasan rondaan dan pemantauan di dalam wad mahupun fasiliti perawatan di Hospital USM.

WhatsApp_Image_2021-08-20_at_18.56.16.jpeg

Menurutnya, di semua hospital dan fasiliti perubatan termasuk Hospital USM memang menguatkuasakan pematuhan SOP secara total demi memastikan penularan tidak berlaku di dalam kawasan premis perawatan.

“Walau bagaimanapun, ada antara mereka yang masih selesa dengan kebiasaan sebelum ini dan sikap sebegitu terbawa hingga ke dalam wad mahupun klinik ketika mereka datang mendapatkan rawatan atau sebagai peneman pesakit.

“Yang sangat kami pentingkan adalah kejujuran pesakit mahupun peneman semasa mengisi Borang Deklarasi Risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke dalam wad. 

Jika bergejala, maklumkan kepada doktor atau jururawat bertugas supaya langkah-langkah pencegahan awal dapat diambil bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius,” ujarnya.

Tambah Raudzah, Hospital USM mengekalkan polisi tiada pelawat dan peneman dibenarkan di dalam wad.  Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kes berkeperluan, hanya seorang peneman dibenarkan pada satu-satu masa.

“Jika diberikan kebenaran untuk menemani pesakit sepanjang mendapatkan rawatan di dalam wad, pengurusan Hospital USM sangat mengharapkan agar peneman akur dengan SOP iaitu memakai pelitup muka sepanjang masa, tidak berbual-bual dengan peneman atau pesakit yang lain, solat di ruang yang disediakan menggunakan telekung solat dan sejadah sendiri, pastikan sentiasa menjaga jarak serta mencuci atau sanitasi tangan setiap kali selepas menyentuh pesakit serta apa-apa peralatan di dalam wad.

“Jika diperhatikan, jarak antara katil pesakit memang telah mematuhi jarak yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak dahulu lagi dan bukan hanya semasa pandemik ini semata-mata. 

Bagi pesakit yang boleh berambulasi (berjalan), elakkan dari berjalan ke sana sini di dalam wad dan berbual dengan pesakit yang lain kerana tindakan begitu berisiko mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19,” jelasnya lagi.

Raudzah berkata, bagi pihak pengurusan Hospital USM, beliau amat mengharapkan kerjasama dari semua pesakit mahupun peneman agar sama-sama mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pihak termasuk petugas kesihatan di dalam wad.

“Sekiranya berlaku penularan virus COVID-19, perkhidmatan perawatan akan lumpuh, wad akan ditutup untuk proses sanitasi, petugas terpaksa dikuarantin atau isolasi, petugas-petugas dari wad lain akan dipanggil untuk menggantikan tugasan yang mana ianya akan turut menjejaskan perkhidmatan di wad-wad yang berkaitan, malahan tekanan juga akan dialami oleh pesakit serta peneman pesakit yang lain di dalam wad tersebut.

“Saya berterima kasih kepada semua yang peka dengan keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling yang sentiasa menjaga jarak, memakai pelitup muka dengan sempurna tidak hanya sekadar pakai dengan meletakkan pelitup di bawah dagu. 

Keprihatinan anda semua amat dihargai dan sama-sama kita jaga agar penularan COVID-19 tidak berlaku di dalam kawasan hospital dan anda bukan penyebabnya," tambah beliau.

Jelas Raudzah lagi, pematuhan SOP sepanjang pandemik COVID-19 sama seperti penguatkuasaan larangan merokok di kawasan awam termasuk kawasan hospital. 

“Di zaman ini sepatutnya kita lebih cakna dan prihatin dengan apa jua bentuk kempen kebersihan serta kesihatan demi memastikan kelestarian dan kelangsungan hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat,” ulas Raudzah lanjut.

Beliau turut menyeru kepada seluruh masyarakat agar bersama-sama memperkasakan pematuhan SOP, menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya hidup sihat bukan sekadar untuk mengekang penularan COVID-19 semata-mata tetapi juga untuk mencegah penyakit-penyakit kronik lain seperti demam denggi, sakit jantung dan sebagainya.  

“Jangan sampai kita menanggung sakit akibat kedegilan kita sendiri,” katanya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 406

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024