USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KURANGKAN KOS YANG BERLEBIHAN-NC

usmhimpun

PULAU PINANG, 10 Jun - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman mengajak semua staf untuk membantu Universiti bagi memastikan semua proses kerja yang dilaksanakan tidak melibatkan kos yang berlebihan.  

“Universiti membelanjakan sebanyak RM45 juta setahun untuk membayar kos penggunaan elektrik bagi ketiga-tiga kampus. Ini bermakna, secara anggaran setiap seorang staf menggunakan elektrik berjumlah RM4.00 sehari,” kata Omar. 

Dengan statistik ini, semua staf diseru untuk berjimat cermat dan jangan berlebih-lebihan di dalam perbelanjaan. Beliau berkata demikian di dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan yang diadakan di sini hari ini. 

Hal ini juga dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Pendidikan & Latihan Tenaga Diperbaharui & Kecekapan Tenaga (CETREE), Prof. Dr. Haslan Abu Hassan. Beliau menyeru supaya setiap staf memiliki sifat kepunyaan (ownership) terhadap Universiti, tempat mencari rezeki yang halal. 

usmhimpun 2

Dengan ini, sikap ikhlas dan bertanggungjawab adalah pengurusan yang terbaik selain mengamalkan strategi lautan biru dengan menghapuskan birokrasi, meningkatkan keupayaan dan mencipta peluang. 

“Di CETREE misalnya, semua staf bukan pegawai pun dilatih supaya mampu berkomunikasi dan berhubung terus dengan  ‘paymaster’ dan membina jaringan dengan orang luar,” kata Haslan. 

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA), Prof. Madya Dr. Noraida Endut mempunyai pendapat yang tersendiri di dalam mempertahankan hak wanita. 

“Isu yang dekat dengan saya adalah ketidaksamaan jantina, keganasan terhadap wanita dan juga perkara-perkara yang berlaku hanya kerana kita seorang wanita, contohnya kes rogol,” kata beliau yang mengikuti pengajian dalam bidang perundangan. 

Seorang lagi staf yang berkongsi pengalaman bekerja di USM adalah Nordin Ban yang bekerja di sini bermula tahun 1985 sebagai atenden di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) (dulu dikenali sebagai Muzium & Galeri USM).  

 “Di MGTF, kita mempunyai karya yang berusia lebih 50 tahun dan juga karya-karya seni yang mencecah jutaan ringgit hasil pelukis tersohor negara. Karya-karya ini harus dipelihara untuk generasi akan datang serta harus dipamerkan untuk dilihat bagi meningkat nilai sesebuah karya,” kata beliau yang memenangi tempat pertama pertandingan cipta logo Kampus Sejahtera. - Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1605

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024