USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HANAFI ISMAIL, IKON INOVASI DAN PENYELIDIKAN USM

Berkhidmat dan menyumbang pelbagai kejayaan bagi USM di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa selama 34 tahun.

IMG 0250o

USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2021 – Sukar dicari ganti. Itu yang mampu diungkapkan oleh warga kampus ketika beliau mengumumkan persaraan dalam kancah akademik dan penyelidikan yang amat memberi seribu satu makna buat Universiti Sains Malaysia (USM).

Apatah lagi penemuan hasil inovasi beliau suatu ketika dahulu pernah menjadi bualan hangat di dada akhbar dan media sosial, antaranya kejayaan menghasilkan plastik biodegradasi yang mesra alam dari sisa buah tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit nangka.

Insan hebat yang cukup sinonim dengan pelbagai kejayaan dalam inovasi dan penyelidikan sekaligus mengharumkan nama USM ini, merupakan antara tunjang utama yang meletakkan USM di antara universiti penyelidikan terbaik di persada antarabangsa.

Itulah dia, Profesor Ts. Dr. Hanafi Ismail, 60, yang cukup dikenali oleh warga kampus terutamanya dalam kalangan staf-staf akademik mahupun pentadbiran sebagai seorang yang ramah dan lembut tutur katanya, merupakan seorang tokoh akademik yang cukup berdedikasi hinggakan kejayaan demi kejayaan beliau kecapi di sepanjang kariernya.

IMG_0099.jpg

Berkhidmat dan menyumbang pelbagai kejayaan di USM selama 34 tahun cukup memberi insipirasi buat warga akademik terutamanya legasi yang ditinggalkan beliau buat penyelidik-penyelidik muda, pastinya merupakan cabaran terbesar buat mereka untuk sekurang-kurangnya menyamai apa yang telah dicapai oleh Hanafi Ismail.

Dilahirkan pada tanggal 11 Julai 1961, anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini merupakan anak bongsu dari dua adik-beradik dan dibesarkan oleh keluarga yang ibunya bekerja sebagai pekerja Kilang Mancis Kelantan Sdn. Bhd., satu-satunya kilang yang ada di Kelantan pada masa itu.

Manakala bapanya pula bekerja sendiri sebagai seorang peniaga di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Hanafi Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Indera Putera, Kota Bharu, Kelantan (1968–1973) dan seterusnya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Putera, Kota Bharu, Kelantan (1974-1976). Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat SPM Aliran Sains (1977-1978) dan STPM Aliran Sains (1979-1980) di Sekolah Menengah Ismail Petra juga di Kota Bharu, Kelantan.

ITEX28

 

Bibit kejayaan dalam pendidikan mula berkembang mekar buat Hanafi Ismail apabila berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Teknologi Proses Kimia (1981-1985).

Kecemerlangan beliau di peringkat Sarjana Muda itu telah memberikan laluan pantas untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D.) di Loughborough University of Technology, United Kingdom, dalam bidang Kejuruteraan Polimer, pada tahun 1991 sehingga tamat tahun 1995.

Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) berkesempatan untuk menemubual Prof. Ts. Dr. Hanafi Ismail yang berkongsi sedikit sebanyak mengenai pengalaman dan kejayaan beliau sepanjang 34 tahun kariernya bersama USM.

ITEX47

Berikut selanjutnya merupakan hasil temubual secara dalam talian bersama Prof. Ts. Dr. Hanafi Ismail untuk dikongsikan bersama warga kampus.

Pertama sekali bagi pihak USM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Prof. di atas sanjungan budi menabur bakti selama 34 tahun di USM. Sudah pasti terlalu banyak kenangan dan pengalaman Prof. sepanjang berkhidmat di sini yang tidak mungkin mampu diceritakan sepenuhnya di dalam artikel ini, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga USM yang masih berkhidmat di universiti. Bagi memulakan sesi temubual kita pada hari ini, boleh Prof. kongsikan permulaan karier Prof. di USM selepas menamatkan pengajian peringkat tertinggi Ph.D.?

Terima kasih di atas ucapan dan penghargaan yang diberikan kepada saya ini. Saya amat menghargai inisiatif USM yang sudi menemubual saya untuk perkongsian buat warga USM semua. Untuk makluman saya memulakan karier di USM sebagai Guru Teknologi Proses Kimia di Pusat Pengajian Teknologi Industri dari tahun 1987-1991 sebelum saya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran pada bulan September 1991 - Februari 1995, melalui skim ASHES.

Kemudian setelah tamat Ph.D. saya ditawarkan jawatan sebagai Pensyarah Teknologi Polimer di Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM (1995-2000) sehingga dinaikkan pangkat ke Profesor Madya pada tahun 2000. Kemudian dipilih menyandang jawatan sebagai Profesor Kejuruteraan Polimer di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM (2001-2021) dan lebih menggembirakan, saya amat bersyukur kerana sewaktu dipilih menyandang jawatan tersebut, saya merupakan antara Profesor termuda dipilih oleh USM ketika itu pada tahun 2003.

hanafi17

Selain sebagai pendidik, penyelidik dan saintis, saya juga menjawat beberapa jawatan pentadbiran seperti Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (2010–2012) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM dan seterusnya sebagai Dekan (2013-2015) di Pusat Pengajian yang sama. Setelah itu saya dipertanggungjawabkan menerajui Pusat Inovasi dan Perundingan, USM sebagai Pengarah sehinggalah ke tempoh persaraan saya pada awal bulan Julai yang lalu.

Pada masa yang sama, saya juga menjawat beberapa jawatan utama melibatkan universiti awam, institusi dan industri seperti di bawah:

  1. Profesor Kunjungan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  2. Felo di Institute of Materials Malaysia (IMM) dan Presiden IMM Kawasan Utara.
  3. Felo di Academy of Sciences Malaysia (ASM)
  4. Fellow Professional Technologist of Malaysia Board of Technologists (MBOT)
  5. Pengerusi Academy of Sciences Malaysia (ASM) Northern Region
  6. Ahli Society of Plastics Engineers (USA)
  7. Ahli American Nano Society (USA)
  8. Ahli Plastic and Rubber Institute of Malaysia (MPRIM)
  9. Ahli Seumur Hidup Electron Microscopy Society Malaysia (EMSM)

Ternyata Prof. amat komited dengan pelbagai tugas yang diamanahkan. Lantas kepercayaan yang diberikan oleh Institusi berkenaan menunjukkan betapa berdedikasinya Prof. menjalankan amanah yang diberi hasil kepakaran yang dimiliki. Baik Prof., soalan seterusnya boleh Prof. kongsikan, berapakah jumlah penerbitan dan jurnal pendidikan berimpak tinggi yang telah dihasilkan oleh Prof. pada peringkat tempatan dan antarabangsa?

Alhamdulillah, mungkin itu adalah kepercayaan yang diberikan kepada saya bagi tujuan menggalas amanah dan tanggungjawab tersebut. Sememangnya ia suatu cabaran kepada saya supaya saya sentiasa menambaik baik nilai mutu perkhidmatan dan penyampaian seperti yang disasarkan.

Sepanjang karier saya sebagai ahli akademik dan penyelidik di USM, saya telah menghasilkan sejumlah 730 penerbitan jurnal antarabangsa dengan h-Index (SCOPUS) berjumlah 55 dan jumlah Citation Index sebanyak 13,988 sehingga Julai 2021.

Manakala h-Index untuk ‘Google Scholar’ berjumlah 66 dan jumlah Citation Index sebanyak 20,928 sehingga Julai 2021. Penerbitan majoritinya dalam Jurnal Faktor Impak ISI Q1-Q4.

Sepanjang perkhidmatan Prof.di USM, boleh Prof. kongsikan kejayaan-kejayaan yang dimiliki oleh Prof., sebagai motivasi buat warga kampus di luar sana untuk terus berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Selama lebih 30 tahun, saya cuba yang terbaik untuk memperjuangkan inovasi dan penyelidikan melalui kepakaran saya dalam Teknologi Polimer, terutamanya membabitkan kitar semula getah dan plastik terbuang serta polimer biodegradasi. Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T., kerana hasil usaha, penemuan dan penyelidikan yang saya bersama pasukan saya jalankan itu telah mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa.

Saya juga satu-satunya ahli akademik di rantau ASEAN yang dipilih sebagai Ketua Lembaga Editorial bagi ‘ISI WOS Q1-Q4 Journals’. Izinkan saya untuk senaraikan pencapaian lain untuk dikongsikan selain yang saya sebutkan tadi, seperti di bawah:

  • Chief Editor untuk Progress in Rubber, Plastics and Recycling Technology (Sage, ISI Impact Factor Q3 Journal); Editorial Board untuk Polymer Plastic Technology & Engineering (Taylor & Francis, ISI Impact Factor Q2 Journal); Iranian Polymer Journal (Springer, ISI Impact Factor Q2 Journal); Journal of Vinyl and Additive Technology (Wiley, ISI Impact Factor Q1 Journal), Polymer Testing (ISI Impact Factor Q1 Journal) and Journal of Rubber Research (Springer, ISI Impact Factor Q4 Journal).
  • Editorial Board for Journal of Physical Science (USM Publisher, Scopus); International Journal of Automotive and Mechanical Engineering (UMP, Scopus); and Journal of Electron Microscopy Malaysia (Electron Microscopy Society of Malaysia, Scopus); dan dilantik sebagai penilai artikel bagi pelbagai jurnal antarabangsa.
  • Tahun 2016, dianugerahkan ‘World Golden Scientist Grand Award and Outstanding Leaders of Global Inventors’ oleh Korean Invention News (KINEWS) and Profesor Kunjungan di Korea Invention Academy’.
  • Tahun 2000, dianugerahkan ‘Khwarizmi International Award’ dari Iranian Research Organization for Science and Technology (IROST). Pada tahun yang sama, turut dianugerahkan ‘Asian and Pacific Centre for Transfer of Technology (APCTT) International Award’ oleh United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP).
    • “Kedua-dua anugerah penyelidikan tersebut diterima berdasarkan penyelidikan saya yang luar biasa mengenai Bahan Tambahan Getah Pelbagai Fungsi Baru berdasarkan Asid Lemak Kelapa Sawit. Penemuan ini diterbitkan dalam pelbagai jurnal polimer antarabangsa berimpak tinggi dengan bilangan petikan/sitasi tinggi.”
  • Tahun 2001, dianugerahkan Anugerah Antarabangsa dari Organisasi Pendidikan, Ilmiah dan Kebudayaan Islam (ISESCO) untuk pencapaian penyelidikan yang cemerlang dalam Sains dan Teknologi Polimer.
  • Tahun 2004, dianugerahkan Saintis Cemerlang Malaysia 2004 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
  • Tahun 2006, penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Persatuan Mikroskop Elektron Malaysia (EMSM).
  • Tahun 2012, penerima ‘Agricultural Invention Order of Merit’ di World Inventor Award Festival 2012 (WIAF)’, Seoul, Korea.
  • Tahun 2012, berdasarkan penyelidikan yang berimpak tinggi dijalankan dalam Polimer Sains dan Teknologi, Akademi Sains Malaysia (ASM), telah dianugerahkan Felo Akademi Sains (FASc.) dan Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia (TRSM).
  • Tahun 2014, dianugerahkan ‘World Inventor Award in the Environmental Pollution category’ oleh Korea Invention News (KINEWS).
  • Tahun 2015, penerima ‘Tokoh Award’ oleh Persatuan Mikroskop Elektron Malaysia (EMSM).
  • Produk penyelidikan saya bersama pasukan saya telah berjaya memenangi lebih 50 anugerah ciptaan/inovasi termasuk pingat emas dan anugerah khas dalam banyak pameran, pertunjukan, pertandingan dan ekspo pada peringkat tempatan dan antarabangsa, misalnya PECIPTA, IPTA, MTE, ITEX, BIOMALAYSIA, serta pameran di Kuwait, Switzerland, Jerman, Belgium, Poland, Korea, Romania, Kanada, Croatia dan London. Antara anugerah berprestij yang diterima ialah:
  • Pingat Emas dengan Sebutan Khas oleh Juri di Pameran Inovasi, Penyelidikan dan Teknologi Baru Antarabangsa ke-56 di Brussels, Belgium (2007).
  • Pingat Emas, Anugerah Platinum dan Penciptaan Terbaik (Rusia) di British Invention Show, London (2010).
  • Hadiah Emas dan Anugerah FIRI untuk Penemuan Terbaik di ‘International Women's Invention Exposition (KIWIE 2011)’, Seoul, Korea (2011).
  • Pingat Emas dan Hadiah Utama Eco di Pameran Perdagangan Antarabangsa IENA 2011 (Idea-Inventions-New Products), Nuremberg, Jerman (2011).
  • Hadiah KIWIE dan Anugerah Khas Thailand di ‘Korea International Women's Invention Exposition (KIWIE 2012)’, Seoul, Korea (2012).
  • Pingat Emas di Pameran Penciptaan Antarabangsa ke-6 di Timur Tengah (IIFME) yang dihoskan oleh Kuwait Science Club, Kuwait City, Kuwait (2013).
  • Pingat Emas Dengan Sebutan Khas oleh Juri dan Anugerah Khas dari Haller Pro Inventio Foundation dan Lublin University of Technology, Poland di Pameran ‘63th Exhibition on Inventions, Research and New Technologies, Brussels, Belgium (Innova 2014)’, (2014).
  • Pingat emas dan 3 Anugerah Khas dari ‘Highly Innovative Unique Foundation (Saudi Arabia)’ dan ‘Universitatae Technics Din Cluj-Napoca, Romania di The 8th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2016), Romania.
  • Sejak tahun 2001, diiktiraf sebagai penyelidik terbaik USM dengan menerima Anugerah Sanggar Sanjung dalam pelbagai kategori setiap tahun.
  • Tahun 2017, dilantik oleh Akademi Sains Malaysia sebagai penilai untuk ‘Newton-Engku Omar Fund: An International Collaboration Grant’ di antara Malaysia dan United Kingdom.
  • Pada Januari 2018, diberi penghormatan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Vienna, Austria sebagai Saintis Pelawat selama 2 minggu di Universiti Hacettepe, Ankara, Turki.
  • Di The 10th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2018) Romania, 17-19 Mei 2018, dianugerahkan "Anugerah Pengiktirafan Ilmiah" kerana sumbangan yang cemerlang dalam Sains dan Teknologi Polimer.
  • Di Persidangan Antarabangsa Inovasi dalam Sains dan Teknologi Polimer (IPST2019) (17-19 Oktober 2019), Bali, dianugerahkan "Anugerah Inovasi Sains dan Teknologi Polimer" oleh Persatuan Polimer Indonesia.
  • Tahun 2019, ditaja sepenuhnya oleh Croatian Inventors Network sebagai juri antarabangsa di ‘The 44th International Invention Show (13-16 November 2019). Pada majlis yang sama, dianugerahkan "Anugerah Penyelidikan Cemerlang" kerana pencapaian cemerlang skolastik antarabangsa dalam Sains dan Teknologi Polimer.
  • ‘Top Malaysian Scientist 2012’ dan ‘Top Research Scientists Malaysia (TRSM)’ dari tahun 2014 sehingga sekarang.
  • Lima kali menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang USM sepanjang   perkhidmatan.
  • Tahun 2020, Hanafi Ismail disenaraikan sebagai Saintis 2% Teratas di Dunia oleh Universiti Stanford.

Boleh Prof. kongsikan prinsip diri Prof. dalam menjalankan tugas dan menjadi pemimpin yang baik.

Prinsip diri saya dalam menjalankan tugas cukup mudah, iaitu sentiasa Beramanah, Berintegriti dan Merendah Diri.

Siapa ikon Prof.? Seseorang yang banyak memberi inspirasi kepada Prof. untuk terus berjaya dalam kehidupan.

Semestinya ikon saya tidak lain tidak bukan, ibu saya, seorang yang telah membesarkan saya dengan penuh pengorbanan jiwa dan raga untuk memberi kehidupan dan pendidikan sempurna buat saya sehingga berjaya dalam hidup.

Baik Prof., seterusnya, peristiwa yang paling manis atau yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan Prof. di USM dan jabatan-jabatan yang dinaungi oleh Prof.?

Peristiwa yang paling manis dan tidak dapat dilupakan semestinya pencapaian saya yang telah membuka mata banyak pihak untuk melindungi alam sekitar terutama masalah pembuangan sisa getah dan plastik yang tidak dapat dihancurkan.

Saya telah mendedikasikan masa dan tenaga saya lebih dari 30 tahun untuk meneliti usaha dan menaikkan nama USM dan negara melalui hasil fokus penyelidikan saya dalam mengitar semula sisa getah dan plastik yang boleh terbiodegradasi.

Salah satu inovasi penyelidikan yang saya temui dan paling saya hargai adalah ‘FruitPlast: Biodegradable Plastic for Tomorrow’. Melalui penemuan ini, saya berjaya membuat plastik biodegradasi yang mesra alam dari sisa buah tropika seperti kulit pisang, kulit rambutan dan kulit nangka.

Penemuan ini telah membantu menyelesaikan masalah persekitaran yang disebabkan oleh plastik berasaskan petroleum yang lengai terhadap serangan mikroorganisma dan tidak boleh terurai.

FruitPlast ini telah dipilih oleh Koridor Utara Malaysia/MTDC/USM di bawah program NCIA-MTDC-USM Symbiosis (RM 1.9 juta) untuk tujuan pengkomersialan. Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini.

Satu lagi penemuan yang tidak akan saya lupakan adalah OilZob - Penyerap Minyak Novel dan Reaktif Dari Pelbagai Sisa Getah. Dengan menggunakan peralatan pemprosesan getah konvensional, proses pembuatan sederhana dan kos rendah, kebanyakan sisa getah dapat dikitar semula dan diubah menjadi penyerapminyak novel dan reaktif getah.

OilZob adalah kaedah kos efektif dan kontemporari untuk menangani pembersihan dan penyingkiran tumpahan minyak di darat dan di air. OilZob sangat sesuai untuk membersihkan tumpahan minyak di kawasan gudang dan kilang yang sesak, stesen minyak, bengkel kereta, industri petrokimia dan perkapalan, dan semua kawasan yang rawan tumpah secara kronik. Untuk penemuan ini, saya bersyukur kerana telah menerima Geran MTDC (Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia) dengan jumlah RM 1,989,000.00.

Sebagai warga staf, jujur di lubuk hati saya, selain ingin mengangkat nama Universiti Sains Malaysia setinggi yang mampu di persada dunia dengan melahirkan saintis-saintis berkualiti, saya juga lakukan semampu yang saya boleh untuk meningkatkan keupayaan universiti melalui kemahiran pentadbiran selama enam tahun di jabatan (2010-2015) sebagai Timbalan Dekan dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.

Alhamdulillah sebagai Dekan pada masa itu, pencapaian akademik dan penyelidikan di Pusat Pengajian berkenaan telah berkembang dengan pesat.

Menurut QS World University Ranking mengikut subjek 2017, dua program iaitu ‘Mineral and Mining Engineering’ telah berada di kedudukan 35 (50 teratas dunia) dan ‘Material Science’ berada di kedudukan 101-150 teratas di dunia.

Selepas itu pula sebagai Pengarah di Pusat Inovasi dan Perundingan USM, saya dipertanggungjawabkan oleh Naib Canselor USM untuk pengkomersialan dan pelesenan pemindahan teknologi produk USM di peringkat nasional dan antarabangsa sejak tahun 2017 sehingga tahun 2020 dengan memperolehi jumlah pendapatan melebihi RM13 juta untuk USM. Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini dan ia merupakan antara kenangan manis yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Bagaimana Prof. mengimbangi masa dan komitmen di antara kerjaya dan keluarga?

Sebagai seorang Muslim, saya berpegang teguh kepada peringatan Allah S.W.T. dalam Surah Al-‘Asr dengan menguruskan masa secara cekap dan berkesan.

Apakah legasi kepakaran pengetahuan akademik yang ditinggalkan Prof. selepas bersara ini, yang Prof. fikirkan ia mampu memberi kesan dan perkongsian penting untuk kegunaan generasi seterusnya berkhidmat di USM?

Saya menjerumus kepada legasi kepakaran pengetahuan akademik terutamanya di dalam Bidang Polimer: Sains dan Teknologi. Bidang ini telah saya perturunkan dan syukur dapat melahirkan ramai pensyarah dan penyelidik yang berkeupayaan bukan sahaja di USM tetapi juga di pelbagai universiti dalam dan luar negara seperti tertera di bawah.

Sehingga tahun 2021, saya telah menamatkan 45 orang pelajar Ijazah Kedoktoran (Ph.D.) dan 56 orang pelajar peringkat Sarjana(M.Sc.) tempatan dan luar negara masing-masing dalam kumpulan penyelidikan sains dan teknologi polimer. Antaranya adalah:

KEBANGSAAN

Universiti Sains Malaysia (USM) (Pensyarah dan Penyelidik)                                                                                                           

Profesor Dr. Ir. Mariatti Jaafar (Malaysian Rising Star 2017 oleh KPT)
Profesor Dr. Zulkifli Ahmad
Prof. Madya Ir. Dr. Nadras Othman
Prof. Madya Ir. Dr. Zuratul Ain Abdul Hamid
Dr. Arjuliezan Rusli
Dr. Nurazreena Ahmad
Dr. Mohamad Danial Shafiq

Universiti Teknologi Mara (UiTM) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof Madya Dr. Aniza Kalam
Dr. Razif Muhammad Nordin
Dr. NorFasehah Zaaba
Dr. Dalina Samsudin
Dr. Faiezah Hashim
Dr. Nurul Aizan Mohd Zaini
 
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Zurina Mohamad
 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Hakimah Osman (Pemenang Women Loreal Award )
Prof. Madya Dr. Sam Sung Ting
Prof. Madya Dr. Ragunathan Santiago
Prof. Madya Dr. Nik Noriman Zulkepli
Dr. Mohamad Kahar Ab Wahab
Dr. Noorul Najwa Diana Yaacob
 
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Mohamad Awang
 
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof Madya Dr. Yamuna Munusamy
Dr. Ooi Zhong Xian
Dr. Mathialagan Muniyadi
 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Norshahida Sharifuddin
 
Universiti Putra Malaysia (UPM) (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Nor Khairunnisa Mazlan
 
Universiti Kuala Lumpur, (UniKL) (Pensyarah dan Penyelidik)
Dr. Abdul Malek Yaacob
 
UNITEN (Pensyarah dan Penyelidik)
Prof. Madya Dr. Mohamed Ansari
 
INTEL
Dr. Sim Lim Chong (Technical Manager)
 

ANTARABANGSA

THAILAND
Assist. Prof. Dr. Nabil Hayeemasae (Pensyarah di University Prince of Songkla)
Dr. Supalak Attharangsan (Pensyarah di Mahasarakham University)

INDONESIA
Prof. Madya Dr. Hosta Ardyananta (Pensyarah di University of Sepuluh November)
Prof. Dr. Halimatuddahliana (Pensyarah di Universitas Sumatera Utara)
Dr. Maulidar (Pensyarah di Universitas Sumatera Utara)
Prof. Dr. Indra Surya (Pensyarah di Universitas Sumatera Utara)
Prof. Madya Dr. Salmah Husseinsyah (Pensyarah di Universiti Malaysia Perlis)
Prof. Madya Supri A. Ghani (Pensyarah di Universiti Malaysia Perlis)
Dr. Surya Husseinsyah (Pensyarah di Universiti Malaysia Perlis)SRI LANKA
Dr. Susantha Siriwardena (Timbalan Pengarah di Rubber Research Institute of Sri Lanka)
Dr. Indrajith Rathayanake (Pengurus Teknikal di Synthomer Industry, Kluang, Johor)

VIETNAM
Dr. Cao Xuan Viet (Pensyarah di Ho Chi Minh University of Technology)
Dr. Pham Thi Hao (Pengurus Teknikal di Vietnam Rubber Company)IRAN
Dr. Pooria Pasbakhsh (Monash University, Malaysian Campus)
Dr. Maryam Irani (University of Wyoming, USA)

YEMEN
Dr. Abdullahi Ali Mohamed

PALESTINE
Dr. Mustafa Maher Al-Tayeb

INDIA
Dr. Mohamad Ansari

Soalan terakhir, apakah kata-kata motivasi atau pembakar semangat dari Prof. khas buat semua warga USM untuk terus berkhidmat dengan penuh komited dan sayang kepada USM?

Suatu hari nanti, kita akan menjadi ingatan kepada warga kampus dan USM secara keseluruhannya. Alangkah bahagianya apabila kita kelak akan menjadi ingatan yang indah dan istimewa buat USM dan warganya. Berkhidmatlah dengan penuh amanah, berintegriti dan merendah diri.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1760

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024