USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERIMA BIASISWA LANJUT PENGAJIAN DI PERANCIS, USM MAMPU LAHIRKAN PELAJAR BERKALIBER

USM PULAU PINANG, 11 Ogos 2021 -Pelajar tahun akhir, Pusat Pengajian Sains Kimia, Shirley Ooi Yee Shyen membanggakan Universiti Sains Malaysia (USM) apabila dianugerahkan ‘Master Scholarship 2021' daripada 'Malaysia-France University Centre (MFUC)’ untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kimia di Université Grenoble Alpes, Perancis.

WhatsApp_Image_2021-08-16_at_19.37.20.jpeg

Menurut Shirley, beliau mempunyai minat dalam bidang farmasi, terutamanya dalam penemuan drug (drug discovery) sejak dari bangku sekolah menengah lagi.

“Ketika permohonan Unit Pusat Universiti (UPU), saya ingin memohon kursus Kimia Farmaseutikal (Pharmaceutical Chemistry) tetapi kursus ini tidak ditawarkan sebagai kursus sarjana muda. Justeru, saya memilih kursus Kimia Tulen sebagai pilihan pertama dan merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam kimia farmaseutikal di peringkat sarjana atau PhD,” jelas anak watan Pulau Pinang ini.

Tambahnya, rahsia untuk berjaya adalah dengan selalu mempunyai sikap yang positif, rasa ingin tahu, dan tidak berputus asa, dan beliau menggunakan planner untuk membuat "to-do list" seharian supaya keutamaan diberikan kepada masa untuk belajar walaupun masa untuk bersosial dengan rakan diperlukan sebelum pandemik COVID-19 melanda.

“Nasihat saya, untuk mengecapi kejayaan, kita perlulah sentiasa buat yang terbaik untuk sesuatu tugasan dengan hati yang ikhlas kerana kejayaan tidak datang dalam masa yang singkat, tetapi apabila kita berbuat kebaikan, perkara yang baik itu akan datang kepada kita di masa hadapan,” ujarnya yang memberi nasihat.

Shirley juga berkongsi bahawa pandemik COVID-19 ini telah mengubah sistem pendidikan tinggi dengan melahirkan pembelajaran ‘asynchronous’ yang beliau amat minati kerana beliau dapat mengikuti kuliah secara maya, dan pendekatan sebegini dapat memberi beliau lebih fokus.

“Walau bagaimanapun, saya tidak berminat dengan pembentangan secara maya kerana pengalamannya tidak sama dengan pembentangan secara bersemuka tapi apakan daya, pandemik ini telah mengubah norma kehidupan kita semua dan kita perlu menerimanya,” tekannya.

Berbalik semula kepada biasiswa yang diterima Shirley, ‘MFUC Master Scholarship’ diberi kepada pelajar Malaysia yang menuntut program sarjana di Perancis. Biasiswa ini membiayai pengajian penerima selama setahun dengan "pengecualian" yuran pengajian dan pemberian elaun kehidupan.

“Program sarjana saya di Perancis akan mengambil masa selama 2 tahun dan saya akan berusaha mencari sumber kewangan untuk membiayai pengajian saya ketika tahun 2 di sana,” katanya.

Beliau mendapat berita tentang biasiswa ini pada awal tahun ini dari seorang kawan dan setelah mendapatkan pandangan beberapa orang pensyarah dan staf MFUC, beliau terus menghantar permohonan untuk menyambung pengajian ke University of Grenoble Alpes beserta permohonan biasiswa tersebut, dan beliau bersyukur kursus sarjana yang memerlukan temuduga itu berjaya diharungi beliau sehingga beliau mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di situ.

Tambahan pula, selain mendapat tawaran tersebut yang datang dengan mengejut dan seminggu selepas mendapat biasiswa ke Perancis ini, beliau mendapat tahu bahawa beliau antara 50 orang di dunia yang terpilih untuk menyertai Persidangan ACS Lasting Encounters between Aspiring and Distinguished Scientists (LEADS) di Amerika Syarikat.

“USM merupakan institusi yang telah berjaya memberi saya banyak pengalaman dan peluang. Saya tidak akan melupakan setiap pensyarah, staf dan rakan-rakan yang selalu menyokong saya selama ini.

Diharapkan agar saya juga boleh membuat sumbangan besar kepada USM pada masa hadapan,” jelasnya yang juga merupakan seorang pelajar yang aktif dalam pelbagai kegiatan ko-kurikulum dan persatuan pelajar.

Keaktifan beliau terserlah apabila beliau memegang jawatan-jawatan penting seperti Exco Majlis Perwakilan Pelajar USM; YDP American Chemical Society USM International Student Chapter; Exco Majlis Penghuni Desasiswa Tekun dan PPSL S.A. 2018/19, 2019/20, 2020/21.

Dalam bidang akademik pula, antara yang beliau ingin kongsikan adalah melalui projek tahun akhir, beliau dapat mengaplikasikan apa yang boleh dan telah dipelajari dalam projek penyelidikannya.

Penyelianya, Dr. Yam Wan Sinn selalu memberi nasihat dan tunjuk ajar secara profesional serta sudi mengajar dan membimbing beliau jika terdapat sebarang pertanyaan.

Shirley merasa bahawa ilmu dan kemahiran yang paling banyak dipelajari sepanjang pengajiannya di USM adalah melalui projek tahun akhir.

Ibunya bekerja sebagai seorang guru Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan ayahnya pula merupakan seorang pesara dan mereka berasal dari Pulau Pinang.

Pihak Universiti menzahirkan ucapan tahniah dan ucapan selamat maju jaya kepada Shirley serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Poster: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 1163

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024