USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“THE POCKET ROCKETMAN” DAN “THE FLYING DOCTOR” BAKAL KONGSI RAHSIA KEJAYAAN DI PERINGKAT DUNIA

USM PULAU PINANG, 15 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan program bual bicara “HOW TO BE THE BEST IN THE WORLD: Lessons From Successful Olympians” pada 18 Ogos 2021 secara dalam talian.

THE_POCKET_ROCKETMAN.jpeg

Program ini bakal menampilkan dua orang ikon dan jaguh terkemuka Olimpik negara iaitu Dato’ Mohd Azizulhasni Awang dan Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, dan sesi ini akan dikendalikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

Program ini bertujuan untuk mewujudkan satu platform buat warga USM untuk berinteraksi dengan jaguh sukan negara, memperolehi ilmu yang bermanfaat termasuklah pengalaman, pengorbanan dan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan demi mengharumkan nama negara.

Selain itu, program ini juga adalah untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 tanah air pada tanggal 31 Ogos 2021.

Program ini akan diadakan secara maya pada18 Ogos 2021 (Rabu), jam 11.00 pagi – 12.30 tengah hari melalui Platform Facebook Rasmi Universiti Sains Malaysia: https://facebook.com/USMOfficial1969 dan YOUTUBE USMTV: https://youtube.com/c/USMTV

Semua yang berminat dijemput hadir ke program ini. Untuk makluman, mata CPD/CSD akan diberikan kepada warga staf dan pelajar USM yang hadir menyertai secara dalam talian.

Hadiah berupa cenderahati rasmi USM turut akan diberikan kepada penonton bertuah sesi ini.

Dato’ Azizulhasni atau lebih dikenali dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' merupakan penyumbang pingat Perak Malaysia di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, apabila kilauan pingat ini diperoleh pada hari akhir kejohanan yang menyaksikan kontinjen negara berjaya membawa pulang 1 pingat Perak melalui beliau dan 1 pingat Gangsa melalui gandingan beregu badminton negara pada temasya kali ini.

Manakala Tan Sri Jegathesan merupakan atlit olahraga negara yang tidak asing lagi, yang juga merupakan Pro-Canselor USM. Beliau pernah menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1960 (Rome), 1964 (Tokyo) dan 1968 (Mexico) dan terkenal dengan jolokan 'The Flying Doctor'.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Grafik: Muhammad Indera Azhar @ Ishak

  • Created on .
  • Hits: 492

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024