USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DASS DAN BAGAIMANA KAUNSELOR BOLEH BANTU STAF TANGANI MASALAH KESIHATAN MENTAL

USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 -- Bersempena dengan Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar 2021 (HBPJP 2021) Universiti Sains Malaysia (USM), sesi perkongsian bertajuk Apa Itu DASS dan Bagaimana Kaunselor Boleh Bantu telah diadakan menerusi platform media sosial Facebook dan Youtube.

WhatsApp_Image_2021-08-14_at_23.54.31.jpeg

Sesi tersebut disampaikan oleh Norazlinda Muda, Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM.

APA ITU DASS?

Depression Anxiety Stress Scale (DASS) merupakan ujian saringan bertulis untuk mengenal pasti tahap kemurungan, kerisauan dan stres seseorang dan juga berfungsi sebagai saringan awal kesihatan mental dengan keperluan diagnosis oleh pegawai perubatan.

DASS adalah panduan untuk mengenal pasti simptom dan sebagai indikator awal sama ada pesakit memerlukan rawatan kesihatan mental atau tidak.

Menurut maklumat yang dikongsikan Norazlinda, terdapat tiga tahap stres (Mohd Azhar, 2004) iaitu:

Tahap bersiap sedia dan berjaga-jaga--Mempunyai simptom seperti berasa gelisah, mudah bimbang, ketakutan, marah dan murung

Tahap penentangan --Simptom seperti penafian, mengasingkan perasaan kecewa iaitu tidak merasa sedih memikirkan kekecewaan lalu dan mula kurang minat kepada hobi terdahulu.

Tahap kelesuan--Simptom kehilangan keyakinan diri, hilang rasa harga diri, sukar untuk tidur, terlalu mudah marah, kebimbangan tidak bertempat, masalah gangguan fizikal seperti mendapat penyakit berpunca dari stres misalnya darah tinggi, migrain, ulser dan lain-lain.

Terdapat tiga jenis kebimbangan yang turut dikongsikan dalam sesi ini antaranya ialah:

Kebimbangan Seketika (State Anxiety)-- Tahap kebimbangan semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan khuatir atau bimbang, takut, menghadapi tekanan dan kebangkitan fisiologi.

Kebimbangan Tret (Trait Anxiety)--Ciri-ciri personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan mereka.

Kebimbangan Kognitif (Cognitive Anxiety)--Proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa seperti ketakutan terhadap penilaian sosial, ketakutan terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self-esteem).

Seterusnya, beliau berkongsi tentang kemurungan iaitu gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian yang boleh berlarutan atau berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Antara simptom kemurungan termasuklah suka menyendiri, sukar memberi tumpuan, mudah jemu dan cepat marah, mempunyai niat untuk membunuh diri, merasa resah dan gelisah.

Dalam sesi perkongsian ini, Norazlinda berkongsi tips untuk menghadapi tekanan, yang dipetik daripada Dr. Rozanizam Zakaria iaitu:

Aware and acknowledge – Mengenalpasti perasaan atau emosi dan mengakui tekanan yang sedang dialami.

Brave – Bernafas dengan betul, tarik nafas dan beri masa untuk bertenang.

Count – membuat kiraan dan memberi ruang kepada diri sendiri.

Distant & Distract – Menjauhkan diri dari sumber masalah dan melakukan aktiviti lebih bermakna.

Express – Meluahkan dan berkongsi masalah yang dihadapi atau mendapatkan bantuan profesional.

BAGAIMANA KAUNSELOR BOLEH BANTU?

Jelas Norazlinda, sekiranya seseorang individu mempunyai tekanan, kebimbangan dan kemurungan di tahap yang teruk, individu tersebut boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling staf bersama kaunselor di Bahagian Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf, Bahagian Sumber Manusia.

WhatsApp_Image_2021-08-14_at_23.54.32.jpeg

“Sekiranya tahap stres, kebimbangan dan kemurungan anda berada pada tahap yang sangat teruk, agak terukataupun teruk, cubalah untuk datang mendapatkan khidmat kaunseling di Bahagian ini,” jelasnya.

Bahagian ini menyediakan jenis perkhidmatan perundingan dan kaunseling staf dari segi kaunseling individu, kaunseling kelompok, kaunseling kerjaya, kaunseling perkahwinan, kaunseling keluarga, bimbingan dan konsultasi, ujian psikologi dan program perkembangan, pencegahan dan pemulihan.

Selain daripada saya, staf kaunseling yang lain di Kampus Induk USM terdiri daripada Nur Ezzati Mohamad Husni dan Muhammad Firdaus Abu Mansor.

Menurutnya lagi, oleh kerana kes COVID-19 yang kian meningkat, perjumpaan secara bersemuka adalah tidak disyorkan dan khidmat perundingan adalah secara dalam talian.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kaunseling di Bahagian Perkhidmatan Perundingan dan Kaunseling Staf, Bahagian Sumber Manusia, ia boleh dilakukan melalui dua cara iaitu melalui pautan sistem https://mycounselling.usm.my atau secara langsung di Campus Online USM untuk membuat permohonan sesi kaunseling.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 2948

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024