USM-JEFI METERAI MOU UNTUK TINGKATKAN INDUSTRI AKUAKULTUR NEGARA
Seberang Perai, Pulau Pinang, 10 Jun 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan bekerjasama dengan JEFI Aquatech Resources Sdn. Bhd. (JEFI), pengeluar udang utama di Malaysia dalam pasaran halal global, dalam dua projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil ternakan akuakultur negara khususnya udang dan ikan menerusi biokteknologi.
Bagi pihak USM, kerjasama ini akan diterajui oleh Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), dan dijangka bermula pada suku ketiga 2013.
Projek pertama melibatkan perkongsian kepakaran dalam bidang akuakultur untuk menjalin kerjasama dua hala dalam pembangunan sistem penghantaran bekalan makanan ternakan yang lebih inovatif, berkesan dan menjimatkan kos.
Menurut penyelidik utama dari PPSF, Prof. Peh Kok Khiang, dengan terbinanya sistem seumpama ini kelak, diharapkan dapat memperbaik cara penghantaran bekalan makanan kepada udang dan ikan ternakan yang sedia ada demi mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan produktiviti.
“Selain itu, USM juga akan menerokai potensi untuk bekerjasama dengan JEFI dalam projek penyelidikan untuk mengubah sisa akuakultur kepada produk farmasi bernilai tambah yang mempunyai nilai farmaseutikal dan komersil yang tinggi.”
“Sisa buangan akuakultur seperti kulit udang dan kulit ikan mempunyai potensi untuk diproses dan dijadikan produk farmasi seperti glukosamin dan kolagen yang digunakan untuk mengurangkan gejala radang sendi dan sakit sendi tulang, serta pemeliharaan kulit yang sihat,” kata Peh.
Kerjasama tersebut telah dimeterai di majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak di Koridor Utara Biotech Centre, Penang Science Park, hari ini.
USM diwakili oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan PPSF, Prof. Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JEFI, BJ Tan, menandatangani MoU itu bagi pihak JEFI.
Dalam majlis yang sama, JEFI juga menandatangani MoU dengan delegasi lima profesor dan pakar akuakultur dari Xiamen University, dan Institut Penyelidikan Perikanan Wilayah Fujian serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA), Dato’ Redza Rafiq; Penasihat Kanan Pertubuhan Pemproses Akuakultur Malaysia (MAPA), Leonard Nessen; dan Pengarah Projek Akuakultur HIP-NKEA Jabatan Perikanan Malaysia, Zulkafli Abdul Rashid. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1859