USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JOM MASUK USM, PELBAGAI PENGALAMAN MENARIK MENANTI ANDA!

USM PULAU PINANG, 10 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) mempelawa calon-calon yang berminat dan berkelayakan untuk memohon pengambilan bagi sidang akademik 2021/2022. Tempoh pengemaskinian dan permohonan baharu berakhir pada 12 Ogos 2021 sebelum jam 5.00 petang.

Demikian ujar Ketua Penolong Pendaftar, Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar, USM, En. Khairul Aswad Abd Aziz ketika sesi Webinar Jom Masuk IPT Virtual 2021 (Fasa 2) bersama USM hari ini.

WhatsApp_Image_2021-08-08_at_15.13.15.jpeg

Menurut Aswad, USM menawarkan 65 pilihan kepelbagaian bidang pengajian terbaik di Malaysia untuk ditawarkan kepada calon-calon berkelayakan dan lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi atau yang setaraf untuk pengajian dalam tempoh 4-5 tahun.

“Bidang yang ditawarkan termasuklah perubatan, kejuruteraan, sastera, sains dan pelbagai lagi yang boleh diteliti oleh pemohon melalui laman pohon.usm.my ataupun admission.usm.my,” jelasnya.

Tambahnya juga, pengajian di USM boleh dikatakan menyimpan keunikan dan pengalaman tersendiri, selain pendekatan akademik yang hanya dapat dialami oleh pemohon yang berjaya memasuki USM kelak.

Selain itu, pembelajaran di USM juga berkonsep multidisiplinari; menawarkan peluang mempelajari bahasa asing; program major dan minor; aktiviti kokurikulum berunit; peluang belajar di universiti luar negara; peluang mengikuti ijazah kedua secara jarak jauh; dan paling mencuri tumpuan adalah hampir 90% graduan mendapat pekerjaan.

Universiti Sains Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1969, merupakan universiti kedua tertua di negara ini.  Sebelum Akta Universiti dikuatkuasakan pada 4 Oktober 1971, Universiti Sains Malaysia dikenali sebagai Universiti Pulau Pinang.

Pada peringkat awal, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dengan pengambilan seramai 57 orang pelajar sains. Sejak itu, USM telah berkembang dengan pesatnya dan kini USM mampu menawarkan pelbagai kursus pada peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi kepada lebih 30,000 orang pelajar.  

Salah sebuah universiti penyelidikan (RU) dan satu-satunya universiti yang mendapat status APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan/Accelerated Programme for Excellence) di negara ini, USM kini terkenal sebagai antara universiti tersohor di dalam mahupun di luar negara.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 903

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024