USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKAN ‘ALAT PENYATUAN’ PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA

USM PULAU PINANG, 11 Ogos 2021 -- Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui laman media sosialnya, Arena Sukan USM hari ini meneruskan lagi programnya iaitu sesi sembang sukan secara dalam talian dengan tajuk kali ini “Sukan, Perpaduan dan Semangat Merdeka” yang berfokus kepada perbincangan santai tentang bagaimana sukan dapat mengeratkan lagi perpaduan rakyat dalam meraikan bulan kemerdekaan ke-64 Malaysia.

Dikendalikan sepenuhnya oleh staf USM, Pembantu Belia dan Sukan PSR, Mahadzer Mokhtar (moderator) dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan PSR, Ahmad Norafandy Ahmad Yatim, bersama tetamu khas iaitu pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian dan YDP Desasiswa Restu, Joyana Dilam Anak Clement, perbincangan kali ini menjurus kepada aktiviti sukan ke arah mengeratkan perpaduan untuk warga USM dan masyarakat umum.

WhatsApp_Image_2021-08-12_at_02.25.14.jpeg

Menurut Sivamurugan, sukan sememangnya antara elemen penting untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia, sebagai contoh kejohanan Pesta Bola Merdeka dan lain-lain yang merupakan alat penyatuan masyarakat.

“Kita sepatutnya menjadikan roh ketika zaman 1980an sebagai contoh untuk diaplikasikan pada zaman kini yang lebih canggih dari segi teknologi, dan mencari kenapa wujudnya kekangan supaya ramuan terbaik dapat direncanakan untuk menjadikan sukan sebagai wadah perpaduan; selain itu pengurusan sukan juga memainkan peranan yang besar untuk menggerakkan sukan itu kehadapan untuk mencapai kejayaan,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Pasukan Petugas Khas Presiden FAM.

Tambahnya lagi, program-program yang diatur juga penting walaupun terhad, namun kualitinya perlu diyakini agar bakat-bakat baharu dapat dicungkil, dan program lama juga boleh dijadikan sebagai ‘benchmark’ untuk program terkini.

Sementara itu, bagi Joyana pula, sebagai seorang pelajar, semangat merdeka perlu diterapkan dalam diri masing-masing agar generasi kini dan akan datang dapat menikmati kepelbagaian keunikan yang ada sebagai pembakar semangat untuk terus membangunkan negara Malaysia.

“Elemen disiplin dan berbudi bahasa amat penting dalam hidup bermasyarakat, apabila diterapkan dalam pergaulan harian ia dapat menyatukan kesemua warganegara Malaysia walaupun sosio-budayanya tidak sama,” katanya.

PSR USM sedang dalam proses dan rangka perancangan untuk menjalankan projek-projek dan pengisian sebegini pada ketika pandemik COVID-19 ini, bagi menyemarakkan semangat semua warga USM dan umum untuk terus bersukan dan menerapkan elemen kesukanan dalam diri masing-masing walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk bersosial secara bersemuka untuk bersukan.

USM turut mengaturkan pelbagai program melalui PTJ-PTJnya sepanjang bulan kemerdekaan ini secara dalam talian bagi menyemarakkan semangat bersatu-padu pada zaman pandemik COVID-19 ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah 

  • Created on .
  • Hits: 1977

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024