SILAT CEKAK – BELAJAR BUKAN UNTUK BERLAWAN TAPI UNTUK PERTAHANKAN DIRI
PULAU PINANG, 8 Jun 2013 – Seni mempertahankan diri, terutamanya silat cekak harus dipelajari dan diamalkan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk atau mendabik dada dengan ilmu yang ada.
Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, dengan mempelajari seni silat cekak, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri dan dapat digunakan untuk mempertahankan diri jika menghadapi situasi yang tidak disangka.
"Namun, ia tidak harus disalah guna kerana seni ini bukan untuk mencari musuh dengan sesiapa, malah ianya akan dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sekiranya kita bersatu dan bersama dengan memegang pada hakikat ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’."
Tambahnya lagi, ‘bila memandang tinggi ke langit, jangan dilupa rumput di bumi’ adalah pepatah yang amat sesuai dipegang oleh setiap individu yang mengamalkan apa sahaja ilmu yang harus dimanfaatkan ke jalan yang benar.
Pada Majlis Makan Malam Santapan Secangkir Kasih 2013 anjuran Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia USM (PSSCMUSM) yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini, Omar juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lebih 180 ahli yang terbabit dalam persatuan tersebut.
"Pesanan yang paling ikhlas yang perlu kita ingat dan bawa sentiasa adalah penghormatan kepada ibu bapa dan guru, kesetiaan kita kepada raja dan negara, serta sentiasa mempertahankan agama dan bangsa," katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaludin, Penasihat 1 PSSCMUSM, Prof. Madya Ar. Dr. Hj. Abdul Majid Ismail dan Pengarah Projek, Nurul Ashikin Othman, serta beberapa orang guru silat yang dijemput khas. – Teks & Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 4089