USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘VAKSIN, APA YANG PERLU ANDA TAHU’; ISU SEMASA DIKONGSI DALAM PROGRAM HBPJP 2021

USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 -- Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan program ‘Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar (HBPJP) 2021’ hari ini secara dalam talian dengan segmen yang menyentuh isu masa kini iaitu berkaitan vaksin.

Segmen perkongsian informasi kali ini, dengan tajuk ‘Vaksin, Apa Yang Perlu Anda Tahu’ disampaikan oleh Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid.

WhatsApp_Image_2021-07-30_at_18.35.42_1.jpeg

Dalam sesi beliau selama 30 minit, banyak informasi yang beliau kongsikan melalui paparan slaid dan penerangan berkaitan situasi terkini COVID-19 yang menjurus ke arah pemberian vaksin.

Menurut Normala, secara umumnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) negara dengan tema, ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ mensasarkan matlamat 70% populasi akan dapat menerima vaksin, demi untuk keselamatan semua.

Jenama vaksin yang telah ditetapkan untuk digunakan di dalam negara adalah dari jenama Sinovac, AstraZeneca, Pfizer, Cansino dan Gamaleya. Namun begitu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) USM akan memberikan vaksin Sinovac dan Pfizer kepada para penerima,” katanya.

Beliau juga berkongsi pelbagai statistik berkenaan peratusan dan jumlah penerima vaksin di seluruh negeri Pulau Pinang, dengan tumpuan kepada di PPV USM di kampus Induk dan juga di IPPT Bertam.

Tidak ketinggalan juga beliau memaklumkan tentang PPV di Hospital USM (HUSM) yang kini telah beroperasi sebagai PPV Khas (SPPV) USM Kampus Kesihatan.

PPV USM juga telah melaksanakan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu namun ia tertakluk kepada keperluan terhadap kes-kes tertentu, seperti  penerima vaksin dos kedua sahaja, penerima vaksin bersetuju untuk pandu lalu, 15 minit tempoh pemerhatian (ditentukan melalui dos pertama) dan penerima vaksin berada pada tahap kesihatan yang baik. 

Terkini, seramai 48.7% peratus staf USM telah diberikan vaksin di kedua-dua PPV, manakala di Kampus Kesihatan, 96.8% telah diberikan vaksin,” tambah beliau.

Katanya lagi, satu perkara yang agak unik di kesemua PPV USM ialah keseluruhan pengoperasian harian dari stesen/checkpoint pertama hingga keenam adalah dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM sendiri melibatkan sukarelawan staf akademik dan bukan akademik, staf perubatan, pelajar dan juga pesara USM.

Normala berkata, secara ringkasnya vaksin berperanan untuk merangsang sistem ketahanan semulajadi badan, serta mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 ini. Kandungan setiap vaksin tidak mengandungi sebarang bahan yang akan membahayakan kesihatan penerima.

Beliau juga menyentuh tentang pengambilan vaksin dari segi Islam, yang mana keputusan Jawatankuasa Muzakarah telah bersepakat menetapkan bahawa pengambilan vaksin adalah harus, dan boleh menjadi wajib dalam situasi masa kini.

Negara telah menetapkan 3 fasa dalam program PICK. Fasa 1 telah dilaksanakan dari Februari hingga April tahun ini, Fasa 2 dari April hingga Ogos, dan Fasa 3 dari Mei hingga Februari 2022. Kesemua fasa ini dirancang secara teratur demi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikawal.

Tambah Normala, amat penting penularan ini dapat dikawal dengan memastikan ramai penduduk sudah mempunyai antibodi yang mampu memberi perlindungan, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga bagi mereka yang tidak layak menerima vaksin, seperti kanak-kanak.

Beliau juga mengingatkan amat penting vaksin ini diberikan kepada seramai mungkin golongan yang layak, supaya nanti ramai yang mampu mengurangkan jangkitan serius serta kemasukan ke hospital.

Namun begitu, ada empat golongan berisiko yang tidak digalakkan menerima vaksin. “Mereka ini adalah yang telah disahkan positif COVID-19, yang sedang menunggu keputusan ujian COVID-19, yang tidak sihat (demam atau sakit lain) dan yang kontak rapat dengan golongan yang pertama”. Oleh itu, perlu dibuat penjadualan semula untuk menerima vaksin pada waktu yang lain, ujar beliau.

Selain itu, Normala juga memaklumkan bahawa vaksin ini selamat untuk diberikan kepada kaum ibu yang mengandung atau yang sedang menyusukan anak.

Akhir sekali, beliau berharap agar ramai yang telah mendaftar di aplikasi MySejahtera akan tersenarai untuk menerima atau sudah menerima vaksin melalui PPV yang telah ditetapkan.

Segmen ini merupakan antara 27 program yang telah dirancang dan dilaksanakan secara dalam talian melalui Facebook dan Youtube Live sebagai pengisian program HBPJP 2021’, yang diharap dapat dimanfaatkan oleh kesemua pemegang taruh/pelanggan Jabatan Pendaftar, iaitu kumpulan staf, pelajar, bakal pelajar dan juga pesara USM.

HBPJP 2021 dirasmikan secara dalam talian oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Hj Ali pada sebelah pagi.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Ebrahim Abdul Manan  

  • Created on .
  • Hits: 1161

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024