LE’MARI@KEJUT, MEDIUM TERBAIK KONGSI REZEKI
NIBONG TEBAL, 4 Ogos 2021 – Projek wakaf, Le’mari@Kejut yang dilaksanakan di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) adalah medium terbaik kepada warga kampus untuk berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan terutamanya para pelajar yang berada di dalam kampus.
Dimulakan sejak tahun 2018, projek ini kembali menarik perhatian apabila Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria menggiatkan promosi kepada warga kampus untuk berkongsi rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 1 Jun 2021.
“Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, tempoh PKP3.0 ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan pada semua pihak.
“Namun begitu, yang paling terkesan bagi saya sudah semestinya pelajar-pelajar kita yang berada di dalam kampus yang bukan sahaja terhad pergerakannya, malah turut berjauhan daripada keluarga masing-masing di samping perlu menyesuaikan diri dengan pengajian secara norma baharu,” kata Azazi.
“Oleh yang demikian, besar harapan saya agar sumbangan ini dapat membantu pelajar-pelajar kita yang sedia ada dan seterusnya menunjukkan tanda prihatin warga kampus kepada mereka melalui bantuan yang disalurkan,” tambah beliau.
Menurut Penolong Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama (DJLU), Hasliza Mat Saad, projek kebajikan di bawah pengurusan desasiswa ini merupakan platform yang sesuai untuk menyemai rasa kasih sayang dan prihatin kepada pelajar yang memerlukan terutama mereka yang kurang berkemampuan serta yang menghadapi kekangan kewangan dalam menguruskan keperluan makanan harian mereka.
“Malah, sumbangan yang ingin disalurkan oleh warga kampus yang terdiri daripada kakitangan serta pelajar tidak terhad kepada wang tunai sahaja tetapi mereka juga boleh memberikan sumbangan dalam bentuk stok bekalan makanan kering kepada kami di DJLU,” kata Hasliza.
Beliau yang juga merupakan Pegawai Latihan Vokasional, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Dan Sumber Mineral (PPKBSM) turut memaklumkan bahawa pemilihan lokasi Le’mari@Kejut antara yang paling dititikberatkan pada awal pelaksanaannya dahulu.
“Pihak pengurusan DJLU memastikan lokasi yang dipilih adalah strategik namun masih memberi ruang privasi kepada mereka yang layak serta berkeperluan untuk mendapatkannya dengan percuma tanpa perlu rasa malu. Tambahan lagi, tiada maklumat atau tanda pengenalan diri diperlukan semasa mendapatkan bantuan di sini,” katanya.
Pihak pengurusan DJLU pada masa ini hanya menempatkan makanan-makanan kering di Le’mari@Kejut seperti biskut, pek makanan segera, pek minuman segera serta beberapa makanan kering yang lain dalam usaha untuk memastikan tahap kebersihan, kekemasan serta kesegaran makanan sentiasa terjaga.
Hasliza turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada pihak pengurusan dan seluruh warga Kampus Kejuruteraan atas sokongan dan sumbangan berterusan yang ditunjukkan pada program ini bagi memastikan kelangsungannya dalam membantu pelajar yang berkeperluan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Hasliza Mat Saad
- Created on .
- Hits: 584