GrAmS DIANUGERAH HADIAH KHAS KIPA
PULAU PINANG, 10 Jun 2013 - Penggunaan tatabahasa di dalam sesuatu penulisan adalah sangat penting. Bagi memantapkan kemahiran penggunaan tatabahasa, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Prof. Dr. Abdul Rashid Mohamed menghasilkan ‘Grammar Assessment System’ atau lebih dikenali dengan nama GrAmS. GrAmS adalah satu sistem penilaian tahap penggunaan tatabahasa yang lebih sistematik yang dapat mengetahui tahap kecekapan seseorang pelajar tersebut.
Produk ini juga dianugerahkan Hadiah Khas daripada Korea Invention Promotion Association (KIPA) yang memilih produk yang memberi penekanan kepada aspek daya saing antarabangsa serta pembangunan ekonomi melalui teknologi. GrAmS juga telah memenangi pingat emas di Pameran Rekacipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2013 yang diadakan awal Mei lalu.
Ahli KIPA memilih GrAmS untuk anugerah itu berdasarkan penyediaan kit pemasaran, produk dalam talian dan juga temubual bersama penyelidik-penyelidik.
“GrAmS dapat membantu pelajar dan juga pada masa yang sama membantu guru-guru mengenalpasti kelemahan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar samada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
“Sistem ini merangkumi tiga elemen iaitu Grammar Test, Grammar Matrix and Grammar Descriptor. GrAmS mempunyai sistem dalam talian yang unik kerana dapat memproses data keputusan seseorang pelajar di dalam pelbagai bentuk dan kriteria,” jelas Rashid.
Rashid dibantu oleh dua orang lagi penyelidik dari pusat pengajian yang sama iaitu Prof. Madya Shaik Malik Mohamed Ismail dan juga Dr. Lin Siew Eng. Teks: Nor Rafizah Md Zain /Foto: Sumbangan Prof. dr. Abdul Rashid Mohamed.
- Created on .
- Hits: 1888