USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEJAHTERAAN KELUARGA DI MUSIM PANDEMIK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2021 – Tidak dapat disangkal lagi, setelah setahun setengah berdepan dengan wabak COVID-19, hampir setiap daripada kita tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun warga emas terkesan dengan penularan pandemik yang seakan tiada tanda akan berakhir.

Bukan sahaja dari aspek kesihatan diri secara fizikal namun spiritual, emosi dan kesihatan mental sebahagian daripada rakyat Malaysia turut menerima kesan tidak sihat ekoran pelbagai masalah khususnya kehilangan punca pendapatan.

Saban hari pelbagai berita yang terpapar di dada akhbar, media sosial berkaitan keluarga yang hilang sumber pendapatan, anak kecil kelaparan,anak-anak yang terjejas dan ada juga yang tercicir dalam pelajaran akibat ketidakmampuan mengikut pembelajaran secara dalam talian.

Hal ini nyata mengundang pelbagai kemudaratan dan berkemungkinan mengakibatkan kesejahteraan serta keharmonian kekeluargaan sebelum ini hilang disebalik penularan COVID-19 yang tidak mengenal mangsa.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, mereka yang terkesan pada musim pandemik COVID-19 perlu muhasabah diri selain menggunakan ruang dan peluang untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka.

untitledmhmhj.png

“Contoh yang boleh dikongsikan ialah seperti kisah juruterbang yang diberhentikan kerja telah menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menjalankan perniagaan menjual makanan bagi kelangsungan hidup seterusnya mengatasi masalah yang timbul.

“Jadikan dugaan hidup ini sebagai hikmah supaya kita sentiasa berfikiran positif selain cuba dapatkan bantuan daripada pelbagai pihak sekiranya kita tidak mampu mengharungi saat-saat sukar ketika ini.

"Bukan sahaja bantuan barangan makanan dan sebagainya tetapi bantuan psikososial dan kaunseling juga amat penting pada saat ini,katanya ketika ditemubual dalam perbualan telefon menerusi Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini hari ini.

Tambah Shaiful, ibu bapa yang meninggalkan anak-anak di rumah disebabkan perlu keluar bekerja hendaklah memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Anak-anak yang ditinggalkan di rumah perlu berada dalam keadaan baik dan selesa setiap masa. Sebaiknya perlu ada penjaga sama ada pengasuh, abang atau kakak yang boleh diharapkan untuk menjaga adik-adik mereka.

“Selain itu, bekalkan maklumat seperti nombor telefon untuk dihubungi sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dan juga mengajar cara selamat penggunaan peralatan tertentu di rumah agar tidak berlaku insiden yang buruk,” ujar beliau.

Jelas Shaiful, ibu bapa juga perlu membuat pemantauan tehadap pembelajaran secara dalam talian (online) anak-anak yang menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah(PdPR).

“Selain bertanggungjawab membekalkan gajet dan kemudahan internet kepada anak-anak, pengawasan terhadap apa yang anak-anak buat, lihat, layari pada setiap masa perlu dipantau bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.

“Pelajar yang mengikuti PdPR perlu menggunakan peluang belajar ini sebaik mungkin dan sentiasa berinteraksi dengan guru, bertanyakan soalan yang tidak difahami menerusi ruangan chat atau video supaya tidak ketinggalan dalam setiap matapelajaran,” ujarnya lagi.

Shaiful berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa aktif dalam merancang aktiviti sihat yang menyeronokkan dan bermanfaat bersama anak-anak semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Musim PKP, sudah tentu aktiviti anak-anak terbatas, oleh yang demikian ibu bapa perlu bersikap aktif terutama dari segi fizikal dan mental. Lakukan setiap aktiviti secara berjemaah bersama keluarga seperti memasak, makan, solat, berkebun bersama atau apa sahaja aktiviti yang boleh menghilangkan rasa bosan mereka.

“Yang paling penting ialah aktiviti sebegini akhirnya akan memberi manfaat yang baik terutama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain kekal sihat,” katanya.

Shaiful turut menasihatkan orang ramai agar kenali kelebihan dan kekurangan diri, gunakan kelebihan yang ada untuk bangkit kembali kerana banyak pekerjaan yang wujud kini adalah hasil daripada kreativiti individu yang ingin berjaya.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 883

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024