IYCF PLATFORM PERKONGSIAN KEPAKARAN BERHUBUNG TUMBESARAN BAYI DAN KANAK-KANAK
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2021 – ‘The 2nd National Infant and Young Child Feeding (IYCF) Scientific Conference’ merupakan platform pertukaran dan perkongsian ilmu pengetahuan tentang cabaran dan potensi perkembangan tumbesaran bayi dan kanak-kanak.
Persidangan anjuran bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) pada kali ke-2 ini bertemakan ‘Promoting Optimal Growth Potential In Infant and Young Child: Challenges and Innovation’ telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba secara maya menerusi aplikasi Webex, hari ini.
Menurut Adham, semua sedia maklum bahawa dua tahun pertama merupakan fasa yang kritikal tumbesaran dan perkembangan nutrisi setiap kanak-kanak.
“Nutrisi dan kesihatan di awal usia kanak-kanak amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan yang baik untuk mencapai gaya hidup yang sihat.
“Penyelidik membuktikan bahawa kanak-kanak yang sihat mempunyai potensi yang baik dalam mencapai kejayaan di sekolah. Sesetengah masalah tumbesaran kanak-kanak dapat dilihat dari sudut fizikal yang mana kanak-kanak tersebut membandingkan ketinggiannya dengan rakan di sekolah.
“Oleh itu, pakar-pakar dalam bidang perubatan, kesihatan dan pemakanan seharusnya mengambil kira kepentingan potensi kanak-kanak dalam pengambilan pemakanan yang seimbang khususnya di musim wabak COVID-19 ini,” katanya.
Tambah Adham, ketidakseimbangan pemakanan dapat dihindari melalui pemahaman terhadap keperluan nutrisi yang betul.
“Salah satu strategi untuk mempromosikan kepentingan kesihatan yang baik bagi bayi dan kanak-kanak adalah dengan menggalakkan ibu-ibu untuk menyusui bayi mereka sejak dilahirkan dan membawa anak ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan secara rutin.
“Para ibu juga seharusnya menjaga pemakanan yang seimbang dan mengekalkan penyusuan susu ibu sehingga mencapai usia bayi dua tahun untuk mengekalkan tenaga dan nutrisi badan yang mencukupi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, persidangan ini membuka peluang kepada peserta dalam menitikberatkan tumbesaran anak-anak yang sempurna dengan memfokuskan kepada bayi dan kanak-kanak.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini dan saya berharap agar pertambahan ilmu baharu dapat menyumbang serta dikongsi bersama dalam proses mempromosi pertumbuhan bayi dan kanak-kanak,” ujarnya.
Persidangan IYCF pada kali ini mengumpulkan 17 penceramah yang berkongsi kepakaran masing-masing di samping pembentangan 24 kertas kerja dengan penyertaan lebih 300 peserta.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Nour Aida Azreena Ahmad Zulman
- Created on .
- Hits: 485