USM UCAP TAHNIAH KEJAYAAN MALAYSIA DI OLIMPIK TOKYO 2020
USM PULAU PINANG, 8 Ogos 2021 -- Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melahirkan rasa bersyukur dengan kejayaan yang telah dicapai oleh kontinjen negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang melabuhkan tirai petang tadi.
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kejayaan 1 Perak dan 1 Gangsa yang diraih oleh negara adalah sesuatu yang amat membanggakan dan menjadi salah satu senjata penyatuan rakyat Malaysia.
“Sukan dapat menyatupadukan kita semua walaupun dimana kita berada dan kejayaan ini boleh dijadikan sebagai salah satu hadiah manis buat negara yang akan menyambut kemerdekaan ke-64 pada hujung bulan ini,” tambahnya.
Malaysia memenangi pingat Perak menerusi Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang pada hari terakhir temasya melalui acara kegemarannya, Keirin Lelaki Berbasikal Trek manakala Gangsa disumbang beregu Badminton Lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Juara keseluruhan temasya kali ini digenggam oleh Amerika Syarikat (39 Emas) diikuti China (38 Emas) dan tuan rumah Jepun (27 Emas).
Malaysia telah menghantar 30 atlet yang menggalas cabaran dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula pada 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021.
Sebanyak 206 kontinjen mengesahkan penyertaan pada temasya sukan terbesar dunia ini yang telah tertangguh selama setahun akibat pandemik COVID-19.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 974