PERKONGSIAN ISTIMEWA HBPJP2021: ‘WARGA CEKAP, PERKHIDMATAN HEBAT, INSTITUSI GEMERLAP’
USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 -- Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar (HBPJP2021) Universiti Sains Malaysia (USM) yang julung kali diadakan secara dalam talian turut menampilkan jemputan khas personaliti terkenal Syamsul Amri bin Ismail, yang juga dikenali sebagai Syamsul Debat.
Beliau yang mengupas isu bertajuk ‘Warga Cekap, Perkhidmatan Hebat, Institusi Gemerlap’ sebagai mukadimah melontarkan persoalan apakah yang dimaksudkan dengan warga cekap, yang sekaligus melahirkan perkhidmatan hebat dan akhirnya institusi menjadi gemerlap.
Menurut beliau, warga yang cekap akan melahirkan kerja yang cepat dan sempurna; walau bagaimanapun, kerja yang dilakukan dengan sempurna tetapi lambat atau kerja cepat tetapi tidak sempurna akan melahirkan warga kerja yang tidak cekap dan akhirnya akan menjejaskan organisasi.
Beliau menekankan peri pentingnya perkhidmatan yang hebat mampu menzahirkan hasil yang luar biasa dan hal ini sejajar dengan sabda junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, bahawa Allah sangat suka hambanya jika berbuat sesuatu pekerjaan akan dilakukan dalam keadaan yang baik, teliti dan sempurna kerana ia memancarkan kesungguhan kita sebagai seorang insan yang amanah.
Katanya lagi, prinsip ehsan dalam Islam mengajak kita melaksanakan sesuatu dengan hebat kerana kita sentiasa dipantau oleh Allah yang maha esa.
“Dalam memacu organisasi ke arah kegemerlapan yang membawa makna bercahaya dan bersinar dan akan menjadikan organisasi lebih dikenali, maka adalah penting warga kerjanya menilai tugasan dan tanggungjawab yang dilaksanakan itu dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana ia berkaitan dalam mencari rezeki halal serta merupakan satu ibadah,” jelasnya.
PENILAIAN ALLAH LEBIH PENTING DARIPADA PENILAIAN MANUSIA
Syamsul turut menghurai tentang sudut penilaian manusia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang pelbagai; oleh itu, apabila berkhidmat dengan cekap dan amanah tidak perlu gundah dengan penilaian manusia.
“Yang perlu dititikberatkan ialah menjaga penilaian daripada Allah kerana apabila kita tidak menjaga penilaian Allah, sebaliknya hanya menjaga penilaian dari manusia semata-mata, maka kita akan kecewa serta tidak berpuas hati kerana akan ada anggapan tiada keadilan serta berasa telah melaksanakan tugas dengan sebaiknya,” katanya.
Menurut Syamsul lagi, apabila kita sedar bahawa Allah melihat segala gerak geri kita, maka sudah pasti kita mencari rezeki yang halal berdasarkan prinsip ketaatan kepada Allah.
“Rezeki yang diperolehi secara bersih, bebas dari unsur subahat dan lurus, maka rezeki itu sudah pastinya diperolehi dengan cara dan jalan yang diredhai oleh Allah.
“Oleh itu, untuk mencari rezeki yang halal yang mendapat penilaian dan redha dari Allah serta manusia, perlu diutamakan setiap pekerjaan kita lakukan dengan niat yang ikhlas.
“Seterusnya, pastikan pekerjaan itu dilaksanakan sebagai sesuatu yang harus dan tidak bertentangan dengan syarak. Maka lakukanlah pekerjaan itu dengan sempurna, tekun, cekap dan bersungguh-sungguh berasaskan amanah, adil dan bertanggungjawab,” pesan Syamsul.
Sudah menjadi lumrah manusia akan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh apabila dipantau, tetapi berlaku sebaliknya apabila tiada yang melihat sedangkan hakikatnya Allah maha melihat.
Beliau menegaskan konsep rezeki yang halal adalah milik semua insan namun sayangnya, ramai yang menilai rezeki itu berdasarkan kebendaan semata-mata dan sering lupa tentang konsep rezeki yang luas, termasuk kesihatan yang kita kecapi.
BEKERJA DARI RUMAH, PERLU DIPERBETULKAN MINDA DAN NIAT
Mengimbau keberkesanan bekerja dari rumah ekoran pandemik COVID-19, Syamsul berpendapat dalam menghasilkan warga yang hebat dan perkhidmatan cekap, perlu diperbetulkan minda dan niat.
“Melaksanakan tugas dari rumah bukan alasan untuk tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh dan bukan alasan untuk melakukan perkara lain selain dari kerja yang diamanahkan.
“Yang paling penting menurutnya ialah, pastikan apa yang berlaku di dalam rumah sewaktu bekerja tidak menghalang untuk menghasilkan kerja yang berkualiti.
“Kerja-kerja sampingan yang berbentuk peribadi jangan dicampuradukkan kerana tidak akan tercapai keberkatan rezeki,” tegasnya.
Dalam menguruskan kaedah pekerjaan dari rumah, beliau turut menekankanperi pentingnya berhubung dan berkomunikasi dengan berkesan.
“Bekerja dari rumah adalah berbeza dengan bekerja secara bersemuka oleh itu dari segi komunikasi yang berkesan dalam organisasi adalah mengikut kesesuaian kerana ada majikan, ketua jabatan dan rakan sekerja yang kurang peka dan bersedia untuk berkomunikasi secara maya,” katanya.
Dalam organisasi perlu wujud kekuatan dalaman dalam melaksanakan kerja berpasukan, oleh itu beliau menggariskan betapa perlunya kita belajar untuk memahami berdasarkan kemahiran mendengar.
“Konflik mudah berlaku apabila tiada tolak ansur dan usaha untuk saling memahami. Perlu ada kerjasama antara rakan sekerja kerana tiada manusia yang boleh bekerja secara sendirian. Kemahiran perlu dimantapkan dalam pelbagai bidang, agar organisasi kita mampu menyerlah dan menjadi hebat.
LAKUKAN TUGAS DENGAN NIAT YANG TERBAIK DAN SENTIASA BERSYUKUR
Kesimpulannya, Syamsul menyeru warga kerja agar dapat melaksanakan tugas dengan niat yang terbaik.
“Seorang pekerja yang berkualiti tidak perlu menanti perkara itu menjadi hebat, tetapi kitalah yang menggerakkan perkara tersebut agar menjadi hebat. Jangan tunggu satu perkara itu menjadi indah, tetapi kitalah yang menjadikan ia indah.”
Menurut beliau lagi, keindahan sesuatu kejayaan itu bukan pencapaiannya tetapi perjalanan dan usaha menuju pencapaian tersebut.
“Apabila kita menjadi warga kerja yang hebat, maka organisasi menjadi gemerlap dan secara tak langsung menjadikan warga kerja sebagai satu aset yang sangat penting yang tidak ternilai harganya,” katanya.
Beliau menyeru agar warga kerja tidak menjadi orang yang menyusahkan organisasi, ibarat pepatah “ada tak menambah, tiada tak mengurang”. Orang hebat ada jasa dan budinya yang akan tetap dikenang.
Akhir sekali beliau menyarankan agar warga kerja sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Imam Ghazali ada menyatakan bahawa, mensyukuri nikmat itu ada empat cara iaitu syukur dengan hati akan nikmat Allah, syukur dengan lisan dengan pujian kepada Allah, syukur dengan perbuatan dengan beribadah kepada Allah dan menjaga nikmat dari kerosakan dengan menjauhi perkara mungkar.
Teks: Zamzami Rasidi
- Created on .
- Hits: 506