USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADILAH INSAN YANG BERJIWA DAN BERPEKERTI MULIA

USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 – Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar (HBPJP) 2021 yang dianjurkan Universiti Sains Malaysia (USM) secara maya hari ini turut memuatkan segmen pengisian rohani.

Segmen pengisian rohani ini menampilkan penceramah motivasi terkenal, iaitu Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah dengan tajuk ceramahnya ‘Kaya Jiwa, Kaya Pekerti’.

WhatsApp_Image_2021-08-08_at_14.56.41.jpeg

Dalam ceramah berkenaan, Mohd Fadzilah menekankan masalah tekanan yang mungkin dihadapi staf ketika pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia ketika ini, dan meminta semua staf sentiasa mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.

Katanya, tajuk ceramah iaitu ‘Kaya Jiwa, Kaya Pekerti’ amat selari dengan misi USM iaitu mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok, dengan terus melahirkan staf dan pelajar yang mempunya jiwa serta pekerti mulia.

Justeru itu, menurutnya, kesemua staf perlu menunjukkan contoh pekerti yang baik supaya ia akan menjadi teladan kepada pelajar dan melakukan perubahan sekiranya terdapat perkara-perkara negatif di dalam jiwa dan pekerti.

“Tajuk hari ini dapat dikatakan sebagai memperkasa jiwa secara logikal dan magikal, kerana punca utama jiwa kita tidak tenang adalah disebabkan masalah hati iaitu sikap yang tidak baik serta cantik.

“Setiap manusia mempunyai dua jiwa iaitu jiwa kecil dan jiwa besar; justeru, kita perlu sentiasa berubah dari hari ke hari bagi menjadikan jiwa sentiasa tenang dengan tidak bersifat sombong serta tidak beradab,” katanya dalam ceramahnya hari ini.

Mohd Fadzilah berkata, setiap insan di dunia ini perlulah sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan segala-galanya dan jangan pula lupa untuk berterima kasih sesama manusia kerana hidup di dunia ini saling memerlukan.

Katanya lagi, sebagai manusia, setiap orang perlu mendoakan semua orang dan memaafkan semua orang supaya jiwa dan hati sentiasa tenang.

Pada pengakhiran ceramahnya, Mohd Fadzilah turut mendoakan USM terus berjaya melahirkan insan yang bukan sahaja mampu berjaya di dalam akademik tetapi juga mempunyai jiwa dan pekerti terpuji.

Sesi ceramah ini merupakan antara 27 program yang direncanakan sepanjang HBPJP 2021 khas untuk staf, pelajar, bakal pelajar, pesara dan umum yang berminat, dan disiarkan di Facebook Pejabat Pendaftar USM dan juga Youtube Channel Jabatan Pendaftar secara serentak.

WhatsApp_Image_2021-08-08_at_14.56.42.jpeg

Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 774

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024